Remaja semakin terbuka cari bantuan kesihatan mental
Remaja semakin terbuka cari bantuan kesihatan mental
PETALING JAYA: Sikap remaja terhadap isu kesihatan mental dilihat semakin berubah apabila 70 peratus daripada mereka kini lebih terbuka untuk mendapatkan bantuan berkaitan masalah emosi.
Pengerusi KASIH Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi itu menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan remaja dan belia terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental semakin meningkat.
Menurutnya, perkembangan berkenaan penting kerana golongan muda perlu mempunyai akses lebih mudah kepada saluran bantuan, terutama apabila berdepan tekanan atau masalah emosi.
“Di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kita ada Talian Kasih dan satu lagi adalah Hab Rakan Sokongan yang dilaksanakan bersama NGO untuk memberi sokongan.
“Inisiatif ini baik untuk mengurangkan jurang akses kepada perkhidmatan bantuan psikososial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan dan Talian Belia SEHAT di sini, Jumaat.
Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata, pelbagai usaha sudah dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan Selangor bagi meningkatkan kesejahteraan serta kesihatan mental, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Katanya, pelaksanaan Hab Rakan Sokongan dan Talian Belia SEHAT menjadi antara platform alternatif kepada belia untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan psikososial.
Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri yang mempunyai populasi kira-kira tujuh juta penduduk sentiasa memandang serius isu kesihatan mental dan buli, terutama membabitkan golongan belia.
Menurutnya, projek rintis inisiatif berkenaan sudah dilaksanakan di SMK Bukit Jelutong dan Bandar Utama dengan melatih ahli Kelab Pembimbing Rakan Sebaya supaya dapat menjadi pendengar kepada rakan yang berdepan masalah emosi.
Sejak Januari hingga Ogos tahun ini, Talian SEHAT merekodkan 234 panggilan, menunjukkan saluran berkenaan semakin digunakan golongan muda yang memerlukan bantuan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw kesihatan mental, remaja, Talian SEHAT, Wan Azizah
