Piranha kedua ditemui di Sungai Klau, dipercayai dilepas berkumpulan
Piranha kedua ditemui di Sungai Klau, dipercayai dilepas berkumpulan
RAUB: Penemuan spesimen kedua ikan dipercayai Red-bellied Piranha (Pygocentrus nattereri) di Sungai Klau mencetuskan kebimbangan bahawa ikan asing berkenaan mungkin dilepaskan dalam jumlah lebih daripada seekor di kawasan itu.
Spesimen terbaharu itu ditemukan seorang pemancing di bawah jambatan RTP, sebelum kawasan berkenaan memasuki tadahan air Empangan Klau.
Berdasarkan penelitian terhadap gambar dan video yang diperoleh daripada pemancing terbabit, spesimen berkenaan mempunyai ciri sama seperti ikan pertama yang ditemukan bulan lalu.
Pengendali Facebook Jejak Air Tawar berpandangan berdasarkan pengalamannya berkaitan ikan pendatang, kemungkinan ikan itu dilepaskan secara berkumpulan, namun jumlah sebenar tidak dapat dipastikan.
Menurutnya, berdasarkan kedudukan lokasi penemuan, terdapat kemungkinan ikan berkenaan dilepaskan sama ada di Sungai Klau atau kawasan empangan sebelum bergerak ke bahagian hulu.
Kawasan sekitar FELDA Klau, RTP dan Kampung Sungai Klau antara lokasi yang dikenal pasti perlu diberikan perhatian.
Bagaimanapun, beliau berkata belum dapat dipastikan sama ada penemuan dua spesimen itu menunjukkan ikan berkenaan sudah berjaya membentuk populasi atau membiak di Sungai Klau.
Katanya, kedua-dua spesimen yang ditemukan mempunyai saiz hampir sekata, sekali gus lebih menyerupai kumpulan ikan yang dilepaskan pada tempoh sama.
“Jika selepas ini ditemukan spesimen dengan saiz berbeza-beza, perkara itu memerlukan perhatian dan penelitian lanjut,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perikanan Pahang memaklumkan pihaknya sudah mengetahui mengenai penemuan kedua itu dan sedang berusaha menghubungi pengendali akaun terbabit serta pemancing berkenaan bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi mendapati gambar dan video ikan pertama mempunyai ciri morfologi yang konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha. Namun, pengesahan muktamad pada peringkat spesies tidak dapat dilakukan kerana spesimen fizikal ikan pertama tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut.
Pemancing dan nelayan sekitar Klau yang menemukan ikan menyerupai piranha diminta merakam gambar serta video dengan jelas dan menyimpan spesimen untuk tujuan rujukan serta kajian lanjut.-SAHIH
#kw Red-bellied Piranha, Sungai Klau, Empangan Klau, ikan asing
