Abdul Fattah tempa sejarah, dipilih Ahli Lembaga ICA 2026-2030
Abdul Fattah tempa sejarah, dipilih Ahli Lembaga ICA 2026-2030
KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam gerakan koperasi dunia apabila Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dipilih sebagai Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pemilihan itu berlangsung pada Mesyuarat Agung ICA 2026 di Panama Convention Centre, Panama City, Panama, pada 15 September lalu.
Abdul Fattah adalah antara lapan muka baharu yang berjaya merebut 15 kerusi Ahli Lembaga ICA daripada keseluruhan 24 calon yang bertanding.
Tujuh lagi calon yang dipilih adalah penyandang bagi penggal sebelumnya.
Seramai 116 pengundi mewakili 193 organisasi anggota ICA dari 66 negara mengambil bahagian dalam proses pemilihan itu, sekali gus mencerminkan penyertaan meluas gerakan koperasi global.
Kejayaan Abdul Fattah membolehkan Malaysia terus mengekalkan wakil dalam barisan kepimpinan tertinggi badan induk koperasi dunia itu selepas Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail menyandang jawatan sama bagi penggal 2022 hingga 2026.
Selain Abdul Fattah, muka baharu yang dipilih termasuk wakil Kanada, India, China, Jepun, Turkiye, Poland dan Perancis.
Sementara itu, Dr Ariel Guarco dari Argentina kembali menerajui ICA sebagai Presiden bagi penggal 2026-2030 selepas dipilih tanpa bertanding.
Beliau menyandang jawatan Presiden ICA sejak 2017.
Guarco ketika menyambut barisan Ahli Lembaga baharu menegaskan bahawa demokrasi dalam gerakan koperasi bukan sekadar mekanisme pilihan raya, sebaliknya menjadi asas kepada penyertaan, keterangkuman dan hubungan sesama anggota.
Lembaga Global ICA mempunyai 30 anggota merangkumi Presiden, 15 Ahli Lembaga bebas, empat Naib Presiden mewakili rantau ICA, lapan wakil organisasi sektoral serta wakil Jawatankuasa Belia dan Jawatankuasa Kesaksamaan Gender.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan strategi ICA 2026-2030 bertemakan Practice, Promote, Protect yang memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu manusia, data, advokasi, kewangan dan masa depan.
Pemilihan terakhir Lembaga ICA sebelum ini berlangsung di Seville, Sepanyol pada 2022.-SAHIH
#kw Abdul Fattah Abdullah, ANGKASA, ICA, koperasi
