Jangan terpengaruh propaganda isu tanah – Shahrol Wizan
Jangan terpengaruh propaganda isu tanah – Shahrol Wizan
TEMERLOH: Masyarakat Orang Asli di Pahang diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan atau propaganda pihak tertentu berhubung isu tanah sehingga boleh menjejaskan usaha menyelesaikannya secara harmoni.
Senator Shahrol Wizan Sulong berkata, masyarakat sebaliknya perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan kerajaan negeri bagi membolehkan sebarang pertikaian diselesaikan menerusi saluran serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan fakta dan undang-undang, khususnya membabitkan kawasan yang didakwa belum diwartakan secara sah sebagai penempatan Orang Asli.
Katanya, pihak penguat kuasa dan kerajaan negeri juga difahamkan sudah beberapa kali mengadakan rundingan dengan masyarakat setempat bagi mencari jalan penyelesaian.
“Jadi saya mintalah kerjasama daripada masyarakat setempat supaya isu yang dibangkitkan itu dapat kita selesaikan dengan cara yang lebih harmoni,” katanya ketika ditemui di Dataran Temerloh, semalam.
Shahrol Wizan berkata, dakwaan yang menyamakan tindakan penguatkuasaan dengan Israel adalah tidak wajar dan keterlaluan kerana menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menganaktirikan atau membeza-bezakan masyarakat Orang Asli.
Beliau berkata, ketiadaan istilah tanah adat Orang Asli dari sudut undang-undang di Pahang sebagaimana titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak bermakna masyarakat itu tidak mempunyai hak memiliki tanah.
“Isu tanah ini mestilah melalui prosedur yang sudah ditentukan kerajaan. Penempatan Orang Asli mesti diberikan pewartaan ataupun hak milik sewajarnya supaya tidak timbul isu bahawa Orang Asli tidak layak atau tidak berhak memiliki tanah,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat Orang Asli menggunakan saluran betul dengan berunding bersama kerajaan dan agensi berkaitan, selain tidak membenarkan pihak luar mengeksploitasi isu berkenaan untuk kepentingan tertentu.
Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada usaha mewartakan tanah kampung dan kebun yang benar-benar diperlukan masyarakat Orang Asli.
Katanya, pengurusan tanah juga perlu dibuat secara adil supaya tidak berlaku keadaan segelintir individu mengusahakan kawasan terlalu luas sedangkan masih ada masyarakat Orang Asli yang belum memiliki walaupun seekar tanah.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak tidak gopoh memperjuangkan isu berkenaan, sebaliknya berpandukan fakta dan keperluan sebenar supaya pembangunan masyarakat Orang Asli dapat diteruskan dalam suasana aman dan harmoni.-SAHIH
#kw Orang Asli, isu tanah, Shahrol Wizan, Pahang
