Abdul Fattah tinjau potensi produk koperasi di Panama
Abdul Fattah tinjau potensi produk koperasi di Panama
PANAMA CITY: Potensi produk dan perkhidmatan koperasi untuk menembusi pasaran antarabangsa terus diberi perhatian apabila Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah mengadakan lawatan ke gerai pameran koperasi sempena Global Cooperative Conference 2026 di Panama.
Abdul Fattah yang juga Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) meluangkan masa meninjau pelbagai produk serta perkhidmatan yang diketengahkan koperasi tempatan sepanjang pameran berlangsung di Panama Convention Centre, di sini.
Lawatan itu memberi peluang kepada beliau melihat secara dekat kepelbagaian produk yang ditawarkan, selain mendapatkan maklumat mengenai pendekatan pemasaran, inovasi serta keupayaan koperasi mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih luas.
Beliau turut bertukar pandangan dengan wakil koperasi mengenai potensi pasaran dan peluang kerjasama yang boleh diteroka pada peringkat antarabangsa.
Interaksi berkenaan dilihat membuka ruang kepada perkongsian pengalaman serta idea berkaitan pembangunan produk, strategi pemasaran dan jaringan perniagaan antara gerakan koperasi dari pelbagai negara.
Pameran koperasi itu menjadi antara pengisian utama Global Cooperative Conference 2026 yang berlangsung pada 16 dan 17 September lalu.
Persidangan berkenaan menghimpunkan pemain gerakan koperasi dari pelbagai negara bagi membincangkan perkembangan semasa, peluang kerjasama serta usaha memperkukuh peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi dan sosial.
Penyertaan ANGKASA dalam program antarabangsa berkenaan turut membuka peluang untuk memperluaskan jaringan gerakan koperasi Malaysia dengan rakan strategik luar negara.
Pada masa sama, platform berkenaan membolehkan pengalaman dan amalan terbaik koperasi dari negara lain dikongsi bagi memperkukuh daya saing koperasi Malaysia di peringkat global.-SAHIH
#kw Abdul Fattah Abdullah, ANGKASA, ICA, koperasi
