4 DITAHAN KES PENCEMARAN SUNGAI SELANGOR
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai ada kaitan dengan kejadian terbaharu pencemaran Sungai Selangor.
Tangkapan dibuat di sekitar Gombak, Damansara dan Kelana Jaya, bermula tengah malam tadi hingga awal pagi ini bagi membantu siasatan kes pencemaran bau berdekatan Taman Velox, di Rawang, semalam, lapor BH Online.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap semua suspek berusia antara 33 hingga 43 tahun itu, di Mahkamah Selayang pagi ini.
“Siasatan awal mendapati seorang suspek wanita adalah penama yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyewa premis di No 32, Jalan Velox 2, Rawang.
“Manakala, seorang lelaki tempatan dan pekerjanya seorang lelaki Bangladesh itu menumpang stok bahan kimia di premis sewaan berkenaan.
“Dipercayai terdapat aktiviti membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor dipercayai berpunca dari kawasan Industri Kecil dan Sederhana di Taman Velox Rawang.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang dipetik berkata, pencemaran itu menyebabkan air loji rawatan kumbahan IWK GBK 225 di Taman Velox bertukar kepada warna merah dan mengeluarkan bau seakan-akan bawang busuk.
Pencemaran itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, semalam.
Turut dilaporkan gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang.