Ilmu, usaha tunjang kejayaan belia – Presiden ANGKASA
Ilmu, usaha tunjang kejayaan belia – Presiden ANGKASA
NEGERI SEMBILAN : Ilmu dan usaha perlu disemai secara berterusan bagi memastikan golongan belia terus cemerlang serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kekuatan ilmu mampu menjadi tunjang utama dalam membentuk jati diri belia sekali gus menjadikan mereka lebih berani memperjuangkan masa depan agama, bangsa dan negara.
Menurutnya, generasi muda hari ini bukan sahaja perlu memiliki semangat tinggi, malah perlu memanfaatkan peluang menimba ilmu serta meningkatkan kemahiran sebagai persediaan menghadapi dunia yang semakin mencabar.
“Ilmu dan usaha merupakan sinergi perjuangan yang perlu disemai secara berterusan. Kekuatan ilmu dapat menjadi tunjang kekuatan kepada belia sekali gus membolehkan mereka berani berjuang demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir sebagai tetamu undangan pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di sini.
Majlis perasmian sambutan yang berlangsung pada 15 Mei lalu itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Abdul Fattah turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Negara 2026 kepada seluruh belia di negara ini.
Beliau berharap sambutan berkenaan dapat menjadi platform menyatukan golongan muda, selain menyemarakkan semangat patriotik, perpaduan dan kesukarelawanan dalam kalangan belia.
Tambahnya, belia diseru agar terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara termasuk dalam sektor ekonomi dan sosial, selain memperkukuh nilai murni serta integriti dalam kehidupan seharian.
Katanya, golongan belia adalah aset penting negara yang bakal menentukan hala tuju Malaysia pada masa hadapan.-SAHIH
