RM10.7 bilion pembiayaan bantu hampir 300,000 usahawan
RM10.7 bilion pembiayaan bantu hampir 300,000 usahawan
KAJANG: Hampir 300,000 usahawan menerima manfaat pembiayaan berjumlah RM10.7 bilion menerusi tujuh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menterinya, Steven Sim berkata, daripada jumlah itu, RM3.14 bilion disalurkan dalam bentuk pembiayaan mikrokredit bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan.
Katanya, kira-kira 200,000 penerima atau dua pertiga daripada keseluruhan usahawan terbabit terdiri daripada penjaja, peniaga kecil dan pekedai.
“Daripada RM10.7 bilion ini, RM3.14 bilion adalah pembiayaan mikrokredit dan dalam kalangan hampir 300,000 usahawan menerima pembiayaan kita, 200,000 atau dua pertiga adalah usahawan daripada kalangan penjaja, peniaga kecil, pekedai dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026, disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Ahad.
Menurutnya, jumlah pembiayaan RM10.7 bilion itu adalah sebahagian daripada komitmen pembiayaan RM15 bilion digerakkan menerusi tujuh agensi di bawah kementerian berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sim berkata sektor keusahawanan negara turut menerima rangsangan terbesar dalam sejarah menerusi Belanjawan 2027 dengan peruntukan berjumlah RM67.9 bilion.
Beliau berkata, belanjawan berkenaan turut menyaksikan penurunan kadar cukai pendapatan perniagaan, sekali gus memberi kelebihan kepada peniaga.
Katanya, pelbagai inisiatif berkenaan dijangka membantu usahawan tempatan beralih daripada hanya menumpukan kelangsungan operasi kepada perancangan pertumbuhan dan pembangunan perniagaan secara mampan bagi menghadapi cabaran semasa.-SAHIH
#KUSKOP #Usahawan #HPPK2026 #Belanjawan2027
