Macron ke Malaysia 16 dan 17 November
Macron ke Malaysia 16 dan 17 November
Kuala Lumpur: Lawatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia pada 16 dan 17 November ini dijangka membuka ruang memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, lawatan berkenaan amat dinantikan memandangkan sudah sekian lama tiada lawatan peringkat tertinggi antara Malaysia dan Perancis.
Beliau berkata, lawatan itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Perancis tahun lalu dan mengundang Macron untuk mengadakan kunjungan balas ke Malaysia.
“Macron menerima jemputan itu dalam tempoh singkat dan lawatan berkenaan menjadi peluang penting untuk mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara.
“Kami berharap hubungan dua hala ini dapat terus berkembang untuk tempoh bertahun-tahun akan datang,” katanya kepada media pada Malam Gala 2026 Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Perancis (CCIFM), di sini, Jumaat.
Sim berkata, hubungan Malaysia dan Perancis mempunyai sejarah panjang sejak 1700-an apabila seorang kapten kapal Perancis pernah singgah di sebuah pelabuhan di Terengganu.
Katanya, Sultan Terengganu ketika itu turut mengutus surat ke Perancis bagi mengalu-alukan kedatangan ahli perniagaan dan pelaut negara berkenaan untuk menjalankan perdagangan di Malaysia.
Menurutnya, lebih 600 syarikat Perancis kini beroperasi di Malaysia, termasuk jenama terkenal seperti L’OrĂ©al, Chanel, Decathlon, Michelin, TotalEnergies dan BNP Paribas.
Syarikat berkenaan menyumbang kepada ekonomi negara dengan menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan merangkumi sektor aeroangkasa, tenaga, pembuatan maju, teknologi digital, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan profesional.
Dalam perkembangan berkaitan, Sim berkata, rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) kini berada pada peringkat lanjutan, dengan satu daripada rundingan berkenaan dimuktamadkan di Brussels, September lalu.
Pada 13 Oktober lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia menyasarkan MEUFTA ditandatangani menjelang akhir Jun 2027, dengan hampir 80 peratus rundingan selesai.
Sementara itu, Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour berkata, lawatan Macron ke Kuala Lumpur bakal menjadi peluang penting untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik.
Beliau berkata, kerjasama kedua-dua negara turut diperkukuh dalam bidang pertahanan, aeroangkasa, peralihan tenaga, mineral kritikal dan infrastruktur digital termasuk kabel dasar laut, pusat data serta semikonduktor.
CCIFM yang menyambut ulang tahun ke-35 tahun ini terus komited membantu syarikat Perancis mengembangkan operasi di Malaysia, selain menjadikan negara ini sebagai pintu masuk strategik ke Asia Tenggara.
Perdagangan dua hala Malaysia-Perancis mencatatkan nilai RM22.5 bilion pada 2025.-SAHIH
#MalaysiaPerancis #Macron #Pelaburan #Perdagangan
