Pasangan ahli perniagaan ditahan bawa wang tunai lebih RM3 juta
Pasangan ahli perniagaan ditahan bawa wang tunai lebih RM3 juta
JOHOR BAHRU – Percutian sepasang suami isteri ke Singapura terbantut selepas mereka ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana membawa wang tunai dalam jumlah besar tanpa pengisytiharan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, pasangan ahli perniagaan berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira 11.40 pagi ketika melalui zon pemeriksaan kenderaan menghala ke Woodlands, Singapura.
Katanya, pasangan berasal dari Johor itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berwarna putih ketika pemeriksaan dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan selepas pemandu kenderaan menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal dan diarahkan membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang untuk diperiksa,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan wang tunai RM1,971,697 dan SGD300,000 disimpan dalam tiga kotak, satu beg kertas dan beg galas di ruang penumpang belakang kenderaan.
Beliau berkata, pasangan itu dipercayai dalam perjalanan ke Singapura untuk melancong, namun tujuan sebenar membawa wang tunai berkenaan masih dalam siasatan.
Katanya, pihak berkuasa turut menyiasat alasan pasangan terbabit gagal membuat pengisytiharan wang tunai berkenaan sebelum melintasi sempadan negara.
“Pasangan terbabit bersama semua wang tunai dan kenderaan ditahan serta disita sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohd Nasaruddin berkata, kedua-dua individu dibawa ke mahkamah pada pagi Rabu bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.
Beliau turut mengingatkan individu yang membawa masuk atau keluar wang tunai berjumlah USD10,000 (kira-kira RM40,800) atau lebih merentasi sempadan negara supaya membuat pengisytiharan kepada JKDM.
Katanya, pengisytiharan berkenaan adalah wajib bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan berkaitan pergerakan wang tunai merentasi sempadan negara.-SAHIH
#AKPS #JohorBahru #WangTunai #JKDM
