Mohd Shuhaily tunggu perkenan Agong kembali ke PDRM
Mohd Shuhaily tunggu perkenan Agong kembali ke PDRM
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu nasihat perundangan Jabatan Peguam Negara sebelum mengemukakan surat rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan mengembalikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke pasukan polis.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pelantikan Mohd Shuhaily ke jawatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebelum ini mendapat perkenan Seri Paduka Baginda kerana beliau adalah pegawai kader polis.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu perkenan berkenaan dan tidak dapat memastikan penugasan baharu Mohd Shuhaily buat masa ini.
“Sehingga perkenan itu diberi, saya masih menunggu. Jadi, saya tidak dapat memastikan status penugasan baharu dan sudah pasti beliau akan kembali kepada PDRM kerana beliau adalah pegawai polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia 2026, malam Jumaat.
Mengulas tindakan susulan terhadap Mohd Shuhaily selepas kembali ke PDRM, Mohd Khalid berkata, belum ada sebarang keputusan dibuat setakat ini.
Katanya, pihaknya akan meneliti tindakan selanjutnya berdasarkan peraturan ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Pasukan Polis, termasuk aspek tatatertib.
“Apabila beliau kembali kepada saya, barulah kami melihat tindakan selanjutnya yang boleh diambil berdasarkan SPA. Kami kakitangan kerajaan dan semuanya tertakluk kepada SPA serta Suruhanjaya Pasukan Polis bagi urusan tatatertib,” katanya.
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kementeriannya memutuskan minggu lalu untuk mengembalikan Mohd Shuhaily ke PDRM selepas tempoh peminjamannya di AKPS berakhir.
Beliau berkata, urusan menentukan penugasan baharu pegawai kanan polis itu diserahkan kepada pucuk pimpinan PDRM.
Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.-SAHIH
#PDRM #MohdShuhaily #AKPS #Polis
