Bekas wartawan Utusan Malaysia terlantar akibat strok dan jantung, perlu bantuan.
Foto : Pengerusi Persatuan Wartawan Pahang Barat, Sallehudin Mat Resat menziarah dan memberi sumbangan persatuan kepada Nazeri.
Bekas wartawan Utusan Malaysia terlantar akibat strok dan jantung, perlu bantuan.
JERANTUT -Hajat seorang bekas wartawan veteran untuk menikmati hari tua dengan tenang tidak kesampaian apabila kini terlantar akibat penyakit jantung dan serangan strok.
Nazeri Nong Samah, 66, yang pernah berkhidmat selama 36 tahun bersama Utusan Malaysia, kini hilang keupayaan untuk bergerak menggunakan kedua-dua kakinya.
Malah, kesihatan anak kelahiran Kampung Durian Hijau, Pulau Tawar itu dilaporkan merosot secara mendadak selepas tergelincir di bilik air kediamannya di Taman Pandan Jaya, di sini baru-baru ini.
Isterinya, Siti Rukiah Hashim, 64, berkata, sejak suami jatuh sakit, dia mengalas tanggungjawab sepenuhnya menguruskan keperluan harian termasuk penyediaan barangan penjagaan asas serta peralatan pemulihan.
“Sejak suami jatuh sakit dan terlantar, saya yang menguruskan keperluannya setiap hari. Buat masa ini, kami sangat memerlukan bantuan orang ramai.
“Anggaran kos sebanyak RM2,000 sebulan diperlukan bagi membeli susu berkhasiat, vitamin yang sesuai, lampin pakai buang serta peralatan bagi memudahkan penjagaannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini.
Menurut suri rumah itu, dia amat berharap ada pihak sudi tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kewangan keluarga, sekali gus memastikan suaminya mendapat penjagaan sempurna sepanjang tempoh pemulihan.
Nazeri memulakan kerjaya kewartawanan sebagai penulis sambilan di Utusan Melayu pada 1976 sebelum dilantik sebagai pemberita tetap.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wartawan Pahang Barat, Sallehudin Mat Resat yang menziarahi beliau berkata, Nazeri pernah bertugas di Temerloh sebelum ditukarkan ke Sabah dari tahun 1980 hingga 1982.
“Beliau juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengarang URTV dari 1984 hingga 1987 sebelum bersara pada 2018.
“Sepanjang kerjayanya, beliau berpeluang menemubual tokoh seni ternama seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Allahyarhamah Sharifah Aini dan Anita Sarawak, selain pemimpin utama negara termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank (1622 5478 1114) atas nama Siti Rukiah Hashim atau menghubungi talian 010-2508269.-SAHIH.
