Pegawai pergigian, farmasi kontrak bakal dibela – Dzulkefly
Pegawai pergigian, farmasi kontrak bakal dibela – Dzulkefly
KUALA LUMPUR: Nasib pegawai pergigian dan farmasi berstatus kontrak terus mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila usaha memperjuangkan pelantikan mereka ke jawatan tetap bakal dibawa untuk pertimbangan kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan serta Jemaah Menteri dalam tempoh munasabah, menggunakan pendekatan sama seperti usaha menangani isu doktor perubatan kontrak sebelum ini.
Katanya, pengambilan pegawai pergigian dan farmasi ke jawatan tetap akan menggunakan kuota baharu yang berasingan daripada 9,000 jawatan tetap doktor perubatan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
“Saya akan memperjuangkan kebanyakan mereka dan juga masa depan mereka dalam nada dan juga semangat yang sama seperti mana saya telah perjuangkan kontrak doktor sedikit waktu dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam Isnin.
Sebelum ini, Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) menggesa kerajaan dan KKM mempertimbangkan pelantikan tetap pegawai pergigian kontrak susulan pengumuman berhubung jawatan tetap doktor perubatan.
Dalam perkembangan berasingan, Dzulkefly berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan permohonan peruntukan permulaan kira-kira RM100 juta bagi memperkukuh pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) di peringkat penjagaan kesihatan primer.
Menurutnya, peruntukan berkenaan penting bagi meningkatkan usaha pencegahan, saringan, diagnosis, rawatan serta kawalan berterusan penyakit kronik termasuk diabetes dan tekanan darah tinggi.
Bagaimanapun, beliau mengakui setiap permohonan peruntukan perlu mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan dan keutamaan perbelanjaan negara.
“Kita mesti tahu dalam perbelanjaan, bukan semua kita dapat, bukan 100 peratus. Dalam mencerakinkan tentang perbelanjaan, pastinya ada kos melepas.
“Apa yang kita belanjakan kepada A, tidak boleh kita belanjakan kepada B dan C,” katanya.
Dzulkefly menegaskan beliau akan terus memperjuangkan peruntukan pengurusan NCD sebagai sebahagian usaha reformasi kesihatan bagi menangani peningkatan penyakit kronik dalam kalangan rakyat.-SAHIH
#KKM #PegawaiKontrak #JawatanTetap #Belanjawan2027
