Ancaman ajaran sesat jadi fokus program PERSADA di FELDA Jengka 24
Ancaman ajaran sesat jadi fokus program PERSADA di FELDA Jengka 24
JERANTUT: Penerangan mengenai ancaman ajaran sesat, termasuk penyebarannya menerusi alam siber, menjadi pengisian utama Program Pemerkasaan Syariah dan Akidah (PERSADA) 2026 yang berlangsung di Masjid Assobirin, FELDA Jengka 24, di sini, hari ini.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud, menyambut baik penganjuran program berkenaan yang memberi peluang kepada masyarakat setempat memperoleh penjelasan secara langsung daripada pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Program anjuran Bahagian Penyelidikan JAIP dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Jengka dan Masjid Assobirin itu mengetengahkan dua panel yang membincangkan ancaman ajaran sesat serta langkah menanganinya.
Panel pertama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abd Manan, menyampaikan ceramah bertajuk ‘Menangani Ajaran Sesat di Alam Siber’.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Akidah dan Syariah, Bahagian Penyelidikan JAIP, Ustazah Naemah Fairus Mohd Jelani, membentangkan tajuk ‘Bahaya Ancaman Ajaran Sesat: Kes Negeri Pahang’.

Kedua-dua ceramah berkenaan memberi tumpuan kepada isu ajaran sesat, khususnya ancaman terhadap pegangan akidah umat Islam serta risiko penyebaran fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Program itu turut menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan maklumat agama daripada sumber yang sahih dan pihak berautoriti.
Pendedahan berkenaan penting khususnya kepada masyarakat FELDA supaya lebih berhati-hati menerima sebarang ajaran atau fahaman agama yang disebarkan menerusi media sosial.
Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memantau sumber pembelajaran agama anak-anak bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Program berkenaan turut dihadiri Al-Fadhil Qadhi Daerah Jengka, Mohd Farik Jamaluddin; Pengerusi Masjid Assobirin, Haji Ishak A Ghani; Pengurus Rancangan FELDA Jengka 24, Saiful Mohd Fuzi serta pemimpin masyarakat setempat.

Penganjuran program seumpama itu diharap dapat diteruskan bagi memperkukuh kefahaman agama dan memelihara akidah umat Islam, khususnya dalam kalangan generasi muda.-SAHIH
#AjaranSesat #JAIP #FELDAJengka24 #PERSADA2026
