Ketua Pendaftar diminta jawab teguran PAC isu e-Jamin
Ketua Pendaftar diminta jawab teguran PAC isu e-Jamin
KUALA LUMPUR: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) diminta memberikan penjelasan rasmi berhubung laporan dan teguran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pengurusan sistem e-Jamin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengoperasian serta tadbir urus sistem itu terletak di bawah bidang kuasa badan kehakiman, khususnya PKPMP.
“Saya tengok apa yang dibawa PAC itu satu teguran yang Ketua Pendaftar kena respons.
“Kita sudah memaklumkan kepada Ketua Pendaftar dan mungkin pihaknya akan mengeluarkan kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, Rabu, ketika mengulas status pengoperasian dan tatacara perjanjian membabitkan sistem e-Jamin.
Sebelum ini, PAC melaporkan sistem e-Jamin yang menyediakan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah sudah beroperasi sejak 2020 tanpa kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurut PAC, sistem yang dikendalikan Dapat Vista Sdn Bhd itu beroperasi tanpa Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima (SST), Surat Niat (LOI) atau perjanjian kontrak rasmi dengan kerajaan.
PAC turut melaporkan bahawa daripada baki deposit wang jaminan berjumlah RM193.71 juta setakat 31 Disember 2024, sebanyak RM130.8 juta dilaburkan atas nama syarikat berkenaan.
Menurut laporan sama, pelaburan itu menghasilkan faedah dianggarkan antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.
PAC sebelum ini menegaskan kemudahan yang ditawarkan sistem e-Jamin tidak seharusnya mengetepikan keperluan terhadap tadbir urus baik dan hubungan perundangan yang jelas antara kerajaan dengan pengendali sistem.-SAHIH
#kw eJamin PAC Azalina Mahkamah
