Malaysia lancar panduan hak asasi untuk perniagaan
Malaysia lancar panduan hak asasi untuk perniagaan
KUALA LUMPUR: Malaysia melancarkan Panduan Usaha Wajar Hak Asasi Manusia (HRDD) untuk Perniagaan di Malaysia bagi membantu syarikat mengenal pasti, mencegah dan mengurangkan risiko pelanggaran hak asasi manusia dalam operasi masing-masing.
Panduan itu turut bertujuan membantu perniagaan menangani sebarang kesan buruk terhadap hak asasi manusia selaras dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025-2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, panduan berkenaan menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan secara berkadar dengan mengambil kira perbezaan sumber, struktur serta tahap pendedahan risiko setiap perniagaan.
“Matlamat kita lebih asas. Kita mahu penghormatan terhadap hak asasi manusia menjadi sebahagian daripada cara perniagaan yang baik menjalankan perniagaan.
“Ia juga perlu diterjemahkan dalam dasar korporat, operasi dan rantaian bekalan, hubungan perniagaan serta proses membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kebangsaan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia 2026, Rabu.
Azalina berkata, syarikat termasuk korporat besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalakkan menggunakan panduan itu bukan sekadar sebagai satu lagi dokumen pematuhan.
Sebaliknya, katanya, ia perlu dijadikan alat pengurusan dan membuat keputusan bagi membina perniagaan yang lebih baik serta bertanggungjawab.
Menurutnya, kerajaan turut mengadakan libat urus bersama pengawal selia, wakil industri dan syarikat bagi memahami amalan semasa, cabaran serta tahap kesiapsiagaan masing-masing.
Katanya, Malaysia juga sudah mula membina asas institusi yang diperlukan bagi melaksanakan 11 Tindakan Segera yang dikenal pasti untuk dimulakan dalam tahun pertama NAPBHR.
Kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan yang disokong tiga Jawatankuasa Teknikal dan diselaras menerusi Kumpulan Kerja Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.
Azalina berkata, pengalaman tahun pertama pelaksanaan NAPBHR menunjukkan pelan itu bukan dokumen yang lengkap dan statik, sebaliknya komitmen nasional yang perlu terus dinilai, ditambah baik serta disesuaikan sehingga 2030.
Katanya, fasa seterusnya perlu memberi tumpuan kepada pencapaian hasil nyata selepas asas pelaksanaan berjaya dibentuk dalam tahun pertama.-SAHIH
#kw HRDD NAPBHR HakAsasi Perniagaan
