Panduan bantu syarikat tangani risiko hak asasi manusia
Panduan bantu syarikat tangani risiko hak asasi manusia
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan panduan bagi membantu syarikat mengenal pasti, mencegah dan mengurangkan risiko pelanggaran hak asasi manusia dalam operasi perniagaan termasuk rantaian bekalan serta hubungan korporat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, panduan itu menjadi sebahagian usaha melaksanakan Pelan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025-2030.
Menurutnya, panduan berkenaan menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan secara berkadar dengan mengambil kira perbezaan sumber, struktur serta tahap pendedahan risiko setiap perniagaan.
“Matlamat kita lebih asas daripada itu. Kita mahu penghormatan terhadap hak asasi manusia menjadi sebahagian daripada cara perniagaan yang baik menjalankan operasi.
“Ia juga perlu diterjemahkan dalam dasar korporat, operasi dan rantaian bekalan, hubungan perniagaan serta proses membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kebangsaan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia 2026, Rabu.
Azalina berkata, syarikat besar mahupun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalakkan menggunakan panduan itu bukan sekadar sebagai dokumen pematuhan.
Sebaliknya, katanya, ia perlu dijadikan alat pengurusan dan membuat keputusan bagi membentuk perniagaan yang lebih baik dan bertanggungjawab.
Menurutnya, kerajaan turut mengadakan libat urus bersama pengawal selia, wakil industri dan komuniti perniagaan bagi memahami amalan sedia ada, cabaran serta tahap kesiapsiagaan mereka.
Katanya, Malaysia kini mula membina asas institusi bagi melaksanakan 11 Tindakan Segera yang dikenal pasti untuk dimulakan dalam tahun pertama pelaksanaan NAPBHR.
Kerajaan juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan yang disokong tiga Jawatankuasa Teknikal serta diselaras menerusi Kumpulan Kerja Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.
Azalina berkata, pelaksanaan tahun pertama NAPBHR membuktikan pelan itu bukan dokumen statik, sebaliknya komitmen nasional yang perlu terus dinilai, ditambah baik dan disesuaikan sehingga 2030.
Katanya, fasa seterusnya perlu memberi tumpuan kepada pencapaian hasil nyata selepas asas pelaksanaan berjaya dibentuk pada tahun pertama.-SAHIH
#kw NAPBHR HakAsasi Perniagaan Azalina
