4×4 dipercayai punca kebakaran parkir City Square
4×4 dipercayai punca kebakaran parkir City Square
JOHOR BAHRU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) dipercayai menjadi punca kebakaran di parkir bawah tanah aras dua pusat beli-belah Johor Bahru City Square, di sini, petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) I Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, penemuan awal itu sekali gus menepis spekulasi tular di media sosial yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan kenderaan elektrik (EV).
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.40 petang sebelum jentera tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Berdasarkan corak kebakaran dan maklumat daripada pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) termasuk juruteknik di sini, kawasan itu dikenal pasti sebagai lokasi awal kebakaran.
“ERT cuba memadam api, namun disebabkan asap terlalu tebal mereka terpaksa beredar dan keadaan itu menyebabkan api merebak kepada kenderaan lain,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, Selasa.
Operasi memadam kebakaran membabitkan 52 anggota daripada BBP Larkin, BBP Tebrau, BBP Kempas dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram serta ERT pusat beli-belah berkenaan.
Mohd Suhaimi berkata, sebanyak 11 kenderaan terjejas dalam kebakaran itu dengan lapan daripadanya mengalami kemusnahan antara 80 hingga 90 peratus.
Katanya, dua lagi kenderaan mengalami kerosakan antara 30 hingga 40 peratus manakala sebuah lagi kira-kira 10 peratus.
Empat individu termasuk seorang warga Singapura mengalami sesak nafas, namun hanya seorang dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.
Menurutnya, pusat beli-belah itu kembali beroperasi seperti biasa kira-kira 7 malam selepas ditutup sementara.
Bagaimanapun, kawasan parkir bawah tanah yang terjejas masih ditutup bagi membolehkan Unit Forensik menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta nilai kerugian.
Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar tular di media sosial memaparkan kepulan asap tebal keluar dari bangunan berkenaan, manakala pengunjung serta pekerja dilihat bergegas meninggalkan premis.-SAHIH
#kw CitySquare Kebakaran Bomba JohorBahru
