RM3.8 juta perkukuh fasiliti kesihatan Kuala Muda
RM3.8 juta perkukuh fasiliti kesihatan Kuala Muda
SUNGAI PETANI: Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan peruntukan khas lebih RM3.8 juta bagi memperkukuh kemudahan dan perkhidmatan kesihatan di daerah Kuala Muda, termasuk Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan itu bertujuan memastikan operasi fasiliti kesihatan berjalan lancar selain meningkatkan kualiti rawatan, menyediakan peralatan diperlukan serta melaksanakan kerja pembaikan segera.
Beliau berkata, lebih RM2.5 juta daripada jumlah berkenaan diperuntukkan kepada HSAH termasuk bagi kerja pembaikan dan menaik taraf Jabatan Kecemasan.
“Antara kerja yang akan dilaksanakan termasuk penukaran lantai wad kepada vinyl bagi meningkatkan aspek kawalan jangkitan.
“Lawatan kerja ini adalah sebahagian komitmen berterusan KKM untuk terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan khususnya kesihatan primer, selain memantapkan perkhidmatan transfusi darah dan kepakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke HSAH, Isnin.
Menurutnya, sebanyak RM564,800 turut diperuntukkan kepada Klinik Kesihatan Jenis 2 Bandar Sungai Petani bagi persediaan fasa awal pengoperasian serta perolehan aset perubatan dan sokongan tambahan.
Daripada jumlah berkenaan, RM398,800 diperuntukkan khusus bagi keperluan Klinik Pergigian di Sungai Petani.
Dalam pada itu, Dzulkefly turut memuji usaha HSAH menangani isu kesesakan menerusi pelaksanaan Model Integrasi Vertikal Kluster Kedah Tengah 2026 serta inisiatif ‘After Hours Clinic’.
Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama Hospital Yan, Hospital Sik dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
“Pelaksanaan bermula sejak 17 Ogos lalu dengan klinik pakar dan klinik kesihatan beroperasi di luar waktu pejabat bagi menangani limpahan pesakit luar serta pesakit zon hijau dari Jabatan Kecemasan HSAH.
“Perkhidmatan itu dilaksanakan secara lokum membabitkan pegawai perubatan dan petugas lain yang berkaitan,” katanya.-SAHIH
#kw KKM HSAH KualaMuda Kesihatan
