Model KOOP SAHABAT tarik perhatian usahawan wanita Timor-Leste
Model KOOP SAHABAT tarik perhatian usahawan wanita Timor-Leste
DILI: Kejayaan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP SAHABAT) menghimpunkan hampir 475,000 anggota dengan Kumpulan Wang Anggota mencecah hampir RM956 juta menarik perhatian usahawan dan koperator wanita di Timor-Leste.
Model pembangunan komuniti koperasi itu diketengahkan sebagai antara pendekatan yang berjaya memperkasa wanita daripada sekadar peserta ekonomi kepada pemilik bersama institusi yang dibangunkan mereka sendiri.
Ditubuhkan pada 30 Ogos 2012, KOOP SAHABAT kini mempunyai 474,996 anggota membabitkan 58 kawasan di seluruh Malaysia, dengan majoriti terdiri daripada usahawan wanita dalam ekosistem Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Ketua Pegawai Eksekutif KOOP SAHABAT, Tuan Haji Mazri Mahmood berkata, kekuatan koperasi bukan semata-mata bergantung kepada saiz aset atau keuntungan, sebaliknya kemampuan menjadi platform pembangunan ekonomi anggota.
“Di KOOP SAHABAT, setiap Sahabat AIM bukan sekadar pelanggan. Mereka adalah anggota dan pemegang saham koperasi serta memiliki sebahagian daripada institusi yang dibangunkan secara bersama,” katanya ketika sesi perkongsian bersama usahawan wanita pada DRCCMD2026 di sini.
Menurutnya, keuntungan hasil aktiviti perniagaan koperasi dikembalikan kepada anggota dalam bentuk dividen selain pelbagai manfaat kebajikan.
KOOP SAHABAT turut terbabit dalam pelaburan dan perdagangan emas, Ar-Rahnu, pembangunan hartanah, hospitaliti serta beberapa pelaburan strategik, selain memperkenalkan Sahabat Super App bagi memudahkan anggota mengakses perkhidmatan secara digital.
Pada masa sama, inisiatif KOOP CARE menyediakan bantuan khairat kematian, penyakit kritikal, bencana dan pendidikan kepada anggota.
Mazri berkata falsafah koperasi itu adalah memastikan anggota bergerak daripada penyimpan kepada pemilik dan seterusnya berkongsi nilai ekonomi yang dibangunkan bersama.
Model berkenaan dilihat relevan untuk diterokai di Timor-Leste apabila wanita merangkumi hampir 39 peratus entiti perniagaan negara itu, selain mencatat kadar penyertaan tenaga kerja sekitar 61.7 peratus.-SAHIH
#KOOPSAHABAT #usahawanwanita #TimorLeste #koperasi
