803 ditahan, SPRM buru rasuah empat sektor berimpak tinggi
803 ditahan, SPRM buru rasuah empat sektor berimpak tinggi
PUTRAJAYA: Seramai 803 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh Januari hingga 31 Ogos lalu hasil siasatan terhadap pelbagai kesalahan rasuah di seluruh negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, dalam tempoh sama pihaknya menerima 5,239 maklumat sebelum membuka 842 kertas siasatan.
Daripada keseluruhan tangkapan itu, 428 membabitkan individu sektor swasta manakala 311 lagi penjawat awam.
Menurutnya, sebanyak 352 tangkapan membabitkan kesalahan menerima suapan, 278 berkaitan tuntutan palsu dan 78 lagi kerana memberi rasuah.
Katanya, operasi SPRM tahun ini memberikan tumpuan kepada empat sektor berimpak tinggi iaitu perolehan kerajaan, agensi penguatkuasaan, dana awam atau peruntukan khas serta hasil dan pendapatan kerajaan.
Bagaimanapun, Abd Halim menegaskan jumlah tangkapan atau kes yang disiasat bukan ukuran mutlak kejayaan SPRM.
Sebaliknya, katanya, impak sebenar dapat dilihat apabila pesalah dibawa ke muka pengadilan, ketirisan dana dapat dikembalikan kepada negara serta kelemahan dalam sistem berjaya diperbaiki.
Beliau berkata, siasatan berprofil tinggi seperti skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International turut memperkukuh kepakaran SPRM dalam bidang forensik kewangan, siasatan rentas sempadan serta pemulihan aset.
“Tindakan penguatkuasaan juga perlu disusuli pembetulan sistem, pengukuhan kawalan dalaman, penambahbaikan prosedur dan peningkatan akauntabiliti supaya setiap kes yang dibongkar memberikan pengajaran kepada negara.
“Kekuatan sebuah institusi bukan hanya diukur melalui jumlah kes yang disiasat atau tindakan yang diambil, tetapi turut bergantung kepada sejauh mana institusi itu mampu mengekalkan integriti, profesionalisme dan keyakinan rakyat terhadap SPRM,” katanya dalam wawancara sempena ulang tahun ke-59 agensi itu.
SPRM ditubuhkan pada Januari 2009 menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menerusi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: SPRM, rasuah, tangkapan, Abd Halim Aman
