MADANI Mart buka peluang master licensing, sasar 300 outlet
MADANI Mart buka peluang master licensing, sasar 300 outlet
Kajang: MADANI Mart membuka peluang permohonan master licensing kepada syarikat, pelabur dan rakan strategik yang mempunyai keupayaan kewangan serta operasi bagi mempercepatkan pengembangan rangkaian peruncitan itu di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata, setiap pihak yang dilantik oleh Yayasan MADANI berpeluang membangunkan dan mengoperasikan sehingga 100 cawangan MADANI Mart tertakluk kepada syarat serta standard ditetapkan.
“Buat masa ini, tiga yang pertama akan diberi keutamaan. Maksudnya, jika tiga master licensor dilantik, ia akan membolehkan kira-kira 300 outlet diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan pembukaan MADANI Mart Cawangan Taman Sutera, di sini, Sabtu.
Fuziah yang juga Pengerusi Yayasan MADANI berkata, pelantikan dan hak pembangunan cawangan akan diberikan secara berfasa berdasarkan keupayaan, prestasi serta pematuhan syarat ditetapkan yayasan berkenaan.
Menurutnya, pengembangan menerusi model itu akan dilaksanakan selepas Yayasan MADANI memastikan rantaian bekalan dan harga bagi kira-kira 5,000 unit penyimpanan stok (SKU) yang ditawarkan berada pada tahap stabil.
Katanya, Yayasan MADANI turut mengadakan rundingan dengan beberapa bank komersial dan bank milik kerajaan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan sekiranya diperlukan dengan nilai sehingga RM50 juta.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, walaupun model master licensing diperkenalkan bagi mempercepatkan pengembangan rangkaian, peluang membuka outlet secara individu masih diberikan bagi membolehkan lebih ramai usahawan menyertai MADANI Mart.
Mengenai MADANI Mart Taman Sutera, katanya, cawangan ketiga itu turut memperkenalkan segmen barangan runcit segar termasuk ikan dan sayur-sayuran selain jualan secara pukal bagi barangan yang tidak memerlukan lesen tertentu.
Setakat ini, MADANI Mart beroperasi di dua lokasi di Kuantan, Pahang sebelum pembukaan cawangan Taman Sutera yang menjadi outlet pertama rangkaian itu di Lembah Klang.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: MADANI Mart, master licensing, Fuziah Salleh, usahawan
