Wan Hamiz buru impian jadi pakar rel negara
Wan Hamiz buru impian jadi pakar rel negara
Shanghai: Cita-cita bergelar pakar sistem pengangkutan rel tempatan menjadi pembakar semangat Wan Hamiz Ozai Wan Hamidzi, 20, mengetengahkan kemahirannya di pentas WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026.
Penuntut Diploma Teknologi Kejuruteraan Sistem Rel Universiti Kuala Lumpur Malaysia Italy Design Institute (UniKL MIDI) itu mewakili negara dalam bidang Teknologi Kenderaan Rel (Rail Vehicle Technology).
Anak jati Butterworth, Pulau Pinang itu berkata, minat terhadap bidang berkenaan bermula sejak di bangku sekolah sebelum semakin mendalam selepas mendapat pendedahan mengenai pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek rel lain di negara ini.

“Dari awal lagi apabila memohon kursus sistem rel, memang sasaran saya mahu menjadi specialist atau pakar.
“Ketika saya bersekolah di Pahang, banyak projek seperti ECRL dan juga Mutiara Line diperkatakan. Apabila projek ini semakin stabil, saya mahu menjadi antara pakar dalam negara,” katanya ketika ditemui Bernama.
Menurutnya, persediaan hampir tiga tahun membantunya mengimbangi penguasaan kemahiran sistem elektrik dan mekanikal bagi menghadapi saingan di National Exhibition and Convention Center (NECC), Shanghai.
Walaupun mengakui sedikit gementar berdepan peserta dari negara yang mempunyai kepakaran tinggi dalam teknologi rel, Wan Hamiz Ozai berkata bimbingan berterusan pakar serta jurulatih meningkatkan keyakinannya.

Sementara itu, jurulatihnya yang juga pensyarah Teknologi Kejuruteraan Rel UniKL MIDI, Mohd Firdaus Hassan berkata, bakat serta minat semula jadi Wan Hamiz Ozai dapat dikenal pasti sejak di bilik kuliah.
“Minat itu yang kita cari dahulu, kemudian baru kita latih kemahiran teknikal. Kemahiran boleh dilatih, tetapi minat sukar kerana ia perlu datang daripada diri sendiri,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, walaupun kontinjen negara dianggap ‘underdog’ berbanding tuan rumah China, beliau optimis Wan Hamiz Ozai mampu mencipta kejutan berdasarkan prestasi konsisten serta disiplin tinggi ditunjukkannya.
Wan Hamiz Ozai antara 22 peserta muda negara yang berentap dalam 21 bidang kemahiran pada WSC Shanghai 2026 membabitkan kira-kira 1,400 peserta daripada lebih 65 negara dan wilayah.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Wan Hamiz, sistem rel, WSC Shanghai, UniKL MIDI
