Abdul Azeez didakwa guna kedudukan dapat jawatan, pelaburan RM193.5 juta
Abdul Azeez didakwa guna kedudukan dapat jawatan, pelaburan RM193.5 juta
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat serta meyakinkan Ahli Lembaga TH meluluskan pelaburan bernilai sehingga RM193.5 juta, 12 tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Baling itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun.
Jawatan itu turut disertakan kemudahan sebuah kenderaan BMW 7 Series serta seorang pemandu tetap.
Abdul Azeez turut dituduh meyakinkan Ahli Lembaga TH supaya bersetuju meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta, merangkumi sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada dalam Putrajaya Perdana Berhad, sedangkan beliau mempunyai kepentingan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM450,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan serta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap tiga bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Terdahulu, Abdul Azeez yang mengenakan pakaian lokap berwarna ungu turut dibawa ke prosiding berasingan bagi permohonan reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan pemberian hibah TH.
Selain beliau, polis turut memohon reman terhadap bekas ketua pegawai eksekutif dan bekas ketua pegawai kewangan kumpulan TH.
Penolong Kanan Pendaftar, Mohamad Afiq Zuber kemudian membenarkan ketiga-tiganya direman dua hari bermula Rabu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Abdul Azeez Abdul Rahim, Tabung Haji, Putrajaya Perdana Berhad, Mahkamah Sesyen, SPRM, Azura Alwi, RM193.5 juta, reman
