Keprihatinan Al-Sultan Abdullah bawa sinar baharu kepada keluarga di Kuala Sat, TNB tampil beri penjelasan
Keprihatinan Al-Sultan Abdullah bawa sinar baharu kepada keluarga di Kuala Sat, TNB tampil beri penjelasan
JERANTUT – Kehidupan sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling dekat sini yang sekian lama bergelap akhirnya bakal berubah selepas mendapat perhatian Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lebih menyentuh hati, kisah penderitaan keluarga itu turut mendapat perhatian Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tampil memberikan penjelasan berhubung proses penyambungan bekalan elektrik ke kediaman berkenaan.
Penduduk, Muhammad Ramadhan Abd Hamid, 30, berkata, dia sanggup menahan rasa malu dan gugup demi bertemu sendiri Al-Sultan Abdullah bagi mengadu nasib keluarganya yang hidup tanpa bekalan elektrik sejak lebih 13 tahun lalu.
Menurutnya, rumah yang dibina di atas tanah kerajaan menyebabkan permohonan bekalan elektrik sebelum ini tidak dapat diluluskan.
Katanya, sepanjang tempoh itu dia bersama isteri dan anak lelaki hanya bergantung kepada lampu menggunakan bateri lori untuk menerangi rumah.
“Kadang-kadang lampu terpadam apabila bateri lemah dan kami terpaksa tidur awal. Anak saya juga tidak dapat menikmati kemudahan seperti menonton televisyen atau menggunakan peti sejuk,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan.
Muhammad Ramadhan yang mengusahakan bengkel motosikal kecil berkata, pendapatan sekitar RM600 sebulan hasil bengkel dan warung kecil isterinya tidak memungkinkan mereka membeli sistem solar.
Disebabkan itu, dia mengambil keputusan menyediakan plakad bertulis “Ampun Tuanku Mohon Berhenti Sekejap” sebelum menunggu keberangkatan Al-Sultan Abdullah di laluan utama kampung itu.
“Saya bersama isteri dan anak menunggu sejak awal pagi sebelum Tuanku berhenti dan mendengar sendiri masalah kami.
“Tuanku sangat mesra dan prihatin sebelum bertitah akan cuba membantu,” katanya.
Menurutnya, beberapa batang tiang elektrik kini sudah dipasang berhampiran rumahnya dan kerja penyambungan bekalan dijangka dilakukan dalam masa terdekat.
Sementara itu, menerusi kenyataan di Facebook TNB Careline, TNB memaklumkan permohonan berkaitan diterima pada hujung Disember 2025 sebelum permohonan kepada pihak berkaitan dibuat pada Januari lalu bagi membolehkan kerja penanaman tiang dilaksanakan.
Menurut kenyataan itu, TNB menerima kebenaran meneruskan kerja pada 17 Mei lalu dan kerja penanaman tiang bermula pada 20 Mei 2026.
“TNB menyasarkan kerja penyambungan bekalan elektrik dapat dimulakan pada 24 Mei ini,” menurut kenyataan itu.
TNB turut menjelaskan pelaksanaan kerja tertakluk kepada aspek keselamatan, teknikal, status tanah dan izin lalu selain akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan kes seumpama itu dapat diuruskan dengan lebih teratur pada masa hadapan.-SAHIH.
