AGONG ZAHIR TAKZIAH KEPADA KELUARGA MP GERIK
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahli Parlimen Gerik Allahyarham, Datuk Hasbullah Osman.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Hasbullah dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana pilu itu.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin,” menurut kenyataan itu seperti dilaporkan Bernama.
Hasbullah, 63, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik meninggal dunia di Raub, Pahang petang tadi kerana sakit jantung.
Allahyarham yang dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 11 Mei lalu, menyandang kerusi Parlimen Gerik sejak 2004, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor selama dua penggal antara 2004 hingga 2013.
Dalam PRU lalu, Allahyarham mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Gerik selepas menang dengan majoriti 5,528 dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon PAS, Mohd Dahalan Ismail dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ibrahim Mohd Hanafiah.
Hasbullah juga pernah menjadi setiausaha politik kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menyandang jawatan timbalan perdana menteri.