336 MASJID DAN TEMPAT SEMBELIHAN KORBAN SUDAH DIKENALPASTI
336 MASJID DAN TEMPAT SEMBELIHAN KORBAN SUDAH DIKENALPASTI
KUANTAN: Sebanyak 336 masjid dan tempat penyembelihan di seluruh Pahang telah dikenalpasti bagi urusan penyembelihan untuk ibadah korban yang bermula Selasa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kebenaran itu diberikan dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat di lokasi terbabit.
“Seramai 1,335 penyembelih dan pembantu penyembelih sudah menerima kelulusan dan dibenarkan melakukan penyembelihan bagi ibadah korban.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
“Kita juga sudah mendapat persetujuan mengadakan ibadah korban dengan SOP ketat iaitu hanya tempat diiktiraf dan diberikan lesen oleh pihak jabatan veterinar.
“Masjid ini juga perlu memiliki kelengkapan bersesuaian dan mencukupi bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilakukan.
“Mereka yang dibenarkan melakukan kerja penyembelihan perlu membuat ujian saringan pengesanan Covid-19 terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kebenaran melaksanakan solat Sunat Aidiladha pula, Syed Ibrahim berkata, semua masjid dan surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat serta fardu, turut dibenarkan melaksanakan solat sunat Aidiladha, tertakluk kepada SOP ditetapkan sebelum ini.
“Walaupun dapat kebenaran untuk menunaikan solat Aidiladha, tetapi mereka mestilah mengikut SOP sebagaimana yang telah ditetapkan, sebagai contoh masjid negeri boleh solat dengan jumlah 100 jemaah.
“Jika, mereka ada keupayaan dari segi ruang, jentera untuk bantu orang ramai dan memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menambah jumlah jemaah,” katanya.-SAHIH