Zahid ke Jakarta perkukuh kerjasama bencana, halal
Zahid ke Jakarta perkukuh kerjasama bencana, halal
JAKARTA: Kerjasama pengurusan bencana, industri halal dan pembangunan luar bandar menjadi antara agenda utama lawatan kerja empat hari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Indonesia bermula Khamis.
Ahmad Zahid tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma pada 1.15 tengah hari waktu tempatan, 17 September dan disambut bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Muzaffar Shah Mustafa; Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Ahmad Haikal Hasan serta pegawai Indonesia.
Sejurus tiba, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden.
Pertemuan itu turut membabitkan beberapa anggota Kabinet Indonesia termasuk Menteri Dalam Negeri, Muhammad Tito Karnavian; Menteri Kelautan dan Perikanan, Sakti Wahyu Trenggono; Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal, Yandri Susanto serta Menteri Lingkungan Hidup, Mohamad Jumhur Hidayat.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut dijadual melawat Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal serta menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman bagi memperkukuh kerjasama pembangunan luar bandar antara kedua-dua negara.
Lawatan hingga 20 September itu dibuat atas jemputan BPJPH bersempena Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Kelima.
Beliau turut dijadual menghadiri majlis pembukaan sidang kemuncak berkenaan pada 18 September selain menjadi ahli panel dalam sesi berkaitan kerjasama halal serantau.
Hubungan ekonomi kedua-dua negara terus kukuh apabila perdagangan dua hala Malaysia-Indonesia mencecah AS$24.22 bilion pada 2025, manakala Malaysia kekal sebagai pelabur keempat terbesar di Indonesia dengan nilai pelaburan AS$4.5 bilion.
Hubungan rakyat kedua-dua negara juga kekal erat apabila lebih 2.63 juta rakyat Malaysia mengunjungi Indonesia tahun lalu, manakala 4.26 juta rakyat Indonesia melawat Malaysia.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Ahmad Zahid, Malaysia Indonesia, industri halal, pengurusan bencana
