Warga emas tidak menduga rambai hutan beri pulangan selepas 40 tahun
Foto : Mohd Isa Mat Daud (kanan) bersama Ramli Mustapha menunjukkan buah rambai hutan di Kampung Berau, Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.
Warga emas tidak menduga rambai hutan beri pulangan selepas 40 tahun
JERANTUT – Seorang warga emas tidak menduga pokok rambai hutan yang ditanam di belakang rumah sejak 40 tahun lalu kini mampu menjana pendapatan sampingan selepas buah nadir itu mendapat sambutan pelanggan.
Mohd Isa Mat Daud, 72, berkata benih pokok berkenaan diperoleh dari hutan Gunung Bongkok berhampiran kampungnya selepas tertarik melihat buahnya yang lebat dan berwarna kemerahan.
Menurutnya, selepas dimaklumkan rakannya bahawa buah berkenaan boleh dimakan seperti rambai kampung, dia membawa pulang bijinya untuk ditanam.
“Saya menanam sebanyak mungkin dengan harapan ia hidup dan mengeluarkan hasil, namun hanya dua pokok yang berjaya tumbuh.

“Pokok mula berbuah ketika berusia kira-kira lapan tahun. Buahnya hijau ketika muda sebelum bertukar kemerahan apabila masak, dengan rasa masam manis,” katanya ketika ditemui di Kampung Berau, Ulu Cheka, di sini.
Mohd Isa berkata, pokok itu hanya berbuah kira-kira dua tahun sekali, namun hasilnya begitu lebat sehingga tidak mampu dihabiskan keluarganya.
“Dulu saya tidak tahu ada orang menggemarinya. Banyak buah gugur dan rosak begitu sahaja.
“Sehinggalah seorang rakan yang juga peraih dari pekan Damak datang ke rumah dan memberitahu rambai hutan boleh dijual seperti buah-buahan tempatan lain.
“Saya agak terkejut apabila mengetahui buah ini mempunyai penggemar. Mungkin pihak berkaitan pertanian boleh menjalankan kajian bagi menghasilkan klon baharu supaya ia berpotensi dijadikan tanaman buah-buahan komersial,” katanya.
Sementara itu, peraih buah-buahan, Ramli Mustapha, 45, berkata sepanjang 15 tahun terbabit dalam perniagaan buah tempatan, dia hanya mengenali rambai hutan selepas mengambil rambutan dan langsat dari kebun penduduk di kawasan berkenaan.
“Saya turut mengambil rambai hutan dari kebun Mohd Isa untuk dijual pada harga RM5 sekilogram.
“Buah ini mendapat sambutan pelanggan, terutama ketika musim rambai kampung dan langsat sudah di penghujung,” katanya.
Ramli berkata, rambai hutan wajar ditanam secara lebih meluas kerana mempunyai potensi untuk dikomersialkan, selain menambah pilihan buah-buahan tempatan di pasaran.-SAHIH.
