Cameron Highlands terus gah, CULTRA 2026 tarik lebih 5,000 pelari
Cameron Highlands terus gah, CULTRA 2026 tarik lebih 5,000 pelari
CAMERON HIGHLANDS: Cameron Highlands terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelancongan sukan negara apabila penganjuran Cameron Highlands Ultra Trail (CULTRA) 2026 berjaya menarik lebih 5,000 pelari denai dari dalam dan luar negara.
Memasuki edisi ke-10 penganjurannya, kejohanan berprestij itu bukan sahaja menjadi antara acara utama dalam kalendar larian denai Malaysia, malah membantu mengangkat reputasi Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Pengarah Media dan Komunikasi BOLT, Azlihana Abdul Rahim berkata, perkembangan positif acara itu membuktikan potensi besar industri larian denai di negara ini sejak diperkenalkan pada 2016 yang ketika itu hanya disertai kira-kira 1,200 peserta.
Menurutnya, CULTRA bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti larian denai menerusi konsep ‘Republic of Trail’ yang menghubungkan peserta, kru penganjur dan penduduk setempat.
“Acara ini bukan hanya mengenai larian denai semata-mata, tetapi mengenai pembinaan komuniti yang berkembang bersama-sama setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran ribuan peserta turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan terutama dalam sektor penginapan, makanan dan perkhidmatan berkaitan.
Katanya, impak ekonomi yang dijana sepanjang penganjuran CULTRA 2026 dianggarkan melebihi RM12 juta, sekali gus memberi manfaat besar kepada pengusaha pelancongan dan perniagaan kecil di kawasan tanah tinggi itu.
Dalam suasana cuaca sejuk yang menjadi tarikan utama Cameron Highlands, peserta dari pelbagai negara berhimpun bagi menguji ketahanan mental dan fizikal menerusi lima kategori perlumbaan yang dipertandingkan.
Bagi kategori utama 100 kilometer, pelari denai negara, Daved Simpat muncul juara keseluruhan selepas berjaya menewaskan pencabar dari Thailand dan Jepun.
Daved yang menyertai perlumbaan itu buat kali kelima sejak 2018 meluahkan kegembiraannya kerana berjaya kembali merangkul kejuaraan selepas berdepan beberapa cabaran dalam penyertaan terdahulu.
Sementara itu, kategori wanita 100 kilometer dimenangi peserta dari Filipina, Ritzy Amor Ectin yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa mengagumkan.
Penganjur turut memberi bayangan kemungkinan memperkenalkan kategori baharu pada masa depan bagi memenuhi permintaan dan minat yang semakin meningkat terhadap sukan larian denai di negara ini.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
