KDN WARTA LARANGAN TERHADAP 2 BUKU

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap dua buah buku bertajuk Gay is OK! A Christian Perspective dan Peichi mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Ketua Setiausaha KDN Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Perintah Larangan itu dikeluarkan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 340 bertarikh 27 November bagi penerbitan Gay is OK! A Christian Perspective dan Warta Kerajaan P.U.(A) 355 bertarikh 15 Disember untuk Peichi.

GAMBAR HIASAN

Menurutnya, perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan berkenaan adalah dilarang secara mutlak di negara ini.

“Penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan dan kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan Bernama.

Beliau berkata kandungan penerbitan buku bertajuk Gay is OK! A Christian Perspective dilihat cuba mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia adalah melanggar sensitiviti agama dan budaya di negara ini.

“Amalan hidup songsang adalah jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu,” katanya.

Penerbitan buku bertajuk Peichi pula memuatkan kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan norma hidup masyarakat Malaysia yang amat menitikberatkan kesopanan, katanya.