KANAK-KANAK PEREMPUAN 2 TAHUN TERSEPIT LIF

KANAK-KANAK PEREMPUAN 2 TAHUN TERSEPIT LIF

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan kesakitan sementara menunggu pihak bomba tiba selepas tangan kirinya tersepit di pintu lif sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur hari ini.

KOSMO! ONLINE melaporkan, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan telah menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.30 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

“Sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati tangan kiri seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah tersepit di pintu lif dan pasukan penyelamat terpaksa mengumpil pintu lif berkenaan untuk mengeluarkannya,” katanya.

Jelas kenyataan itu, anggota bomba telah menggunakan peralatan khas ‘Rescue Spreader untuk melepaskan tangan mangsa yang tersepit dan kemudiannya menghantar kanak-kanak itu ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa dilaporkan patah tangan kiri dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.59 petang,” ujarnya.