566 set borang pencalonan sudah dijual di Pahang

KUANTAN – Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) akan membuka tirai dengan hari penamaan calon yang dijadualkan pada hari Sabtu, bermula jam 9 pagi.

Sehingga semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang memaklumkan sebanyak 566 set borang pencalonan sudah dijual.

Pengarahnya, Datuk Zamree Hamli berkata sebanyak 144 set dibeli oleh calon bagi kerusi parlimen dan 422 set lagi untuk kerusi DUN.

“Borang itu dibeli oleh wakil parti politik dan calon bebas dari pejabat SPR di sini (Wisma Persekutuan) dan pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 14 kawasan parlimen.

“Individu yang bercadang untuk bertanding mempunyai masa sehingga 10 pagi Sabtu (5 Nov) untuk mendapatkan borang pencalonan,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Difahamkan terdapat pertembungan empat penjuru di 13 kawasan parlimen di Pahang apabila Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Parti Pejuang Tanah Air(Pejuang) meletakkan calon masing-masing.

Pejuang bagaimanapun sebelum ini memaklumkan mereka tidak akan bertanding di Cameron Highlands.

Pahang mempunyai 14 kawasan parlimen dan 42 kerusi DUN.

Hari penamaan calon untuk PRU15 ditetapkan pada 5 November, diikuti hari pengundian pada 19 November.

Bagi proses pengundian awal pula ditetapkan pada 15 November ini.