IMIGRESEN SERBU KAMPUNG SAMAWOND

BENTONG: Bayi berusia 10 bulan antara 46 warga Indonesia yang ditahan di rumah kongsi Kampung Samawond, Genting Highlands, Pahang kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam sebuah operasi.

Kawasan itu antara yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan merupakan hari terakhir dikuarantin.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, 33 orang daripadanya ditahan dibawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1957/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

11 daripadanya pula ditahan di bawah Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1956/63.

Sementara dua orang lagi ditahan kerana menyalah guna pas.

Pihaknya juga akan memanggil pemilik tanah untuk siasatan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) kerana membenarkan warga asing berada dalam premis.

Operasi tersebut disertai 47 pegawai dan anggota Imigresen dan dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di laluan kampung tersebut.

Katanya, mengikut siasatan, seramai 138 warga asing berada di lebih 30 pintu rumah kongsi di kawasan itu.

Kesemuanya telah menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan kesemuanya dilaporkan negatif.

Beliau tidak menolak kemungkinan sebahagian daripadanya telah melarikan diri daripada rumah kongsi berkenaan.

Mereka yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kemayan, Bera, untuk direman selama 14 hari.