SENARAI KIT KECEMASAN YANG WAJIB ADA DALAM KERETA

Orang cakap perempuan selalu tidak mengambil berat mengenai kit kecemasan kereta. Tapi sebenarnya ada je lelaki yang tak ambil tahu pasal kit kecemasan kereta.

Tidak kiralah lelaki atau perempuan mesti ada kit kecemasan dalam kereta. Jika berlaku kerosakan ringan, sekurang-kurangnya dalam kereta mempunyai alatan yang boleh digunakan sementara pergi ke bengkel.

Selalunya kereta yang mengalami kerosakan di tengah jalan bukanlah daripada punca yang besar, ia hanya masalah kekurangan minyak, bateri lemah, tayar bocor atau kekurangan air dalam enjin. Oleh kerana punca yang tidak begitu teruk, jika anda mempunyai kit kecemasan mungkin boleh membantu anda.

Apa yang perlu ada dalam kereta anda?

Kit Pertolongan Cemas

Ini adalah paling penting. Kit pertolongan cemas wajib ada dalam kereta. Apabila berlakunya kemalangan kecil yang memyebabkan kecederaan, anda boleh buat rawatan awal sebelum kedatangan bantuan. Bukan sahaja untuk kecederaan daripada kemalangan, mungkin boleh berlaku ketika anda pergi bercuti atau berkelah bersama keluarga.

Alat Pemadam Api

Sediakan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api kecil dalam kereta anda. Kejadian yang tidak diduga boleh berlaku jika berlaku kemalangan yang melibatkan kebakaran. Pastikan alat pemadam api dalam kereta anda yang mempunyai kelulusan untuk kenderaan komersial.

Pengecas Telefon Bimbit

Selalunya pengecas telefon bimbit memang ada dalam kereta untuk kegunaan jika telefon anda kehabisan bateri. Sebenarnya ia juga penting sekiranya berlaku masalah atau kecemasan lain seperti minyak kereta habis, masalah tayar atau berlaku sesuatu yang tidak diingini terutama pada waktu malam. Jadi, telefon anda sentiasa bersedia untuk memudahkan anda hubungi rakan atau keluarga terdekat untuk bantuan.

Lampu Suluh

Walaupun nampak remeh, lampu suluh sangat membantu apabila berlaku perkara yang tidak disangka pada waktu malam.

Sarung Tangan

Jika anda perlu memeriksa bahagian enjin, gunakan sarung tangan bergetah supaya tangan anda tidak melecur dan cedera.

Baju Hujan

Kenapa kena ada baju hujan dalam kereta? Bukan kena hujan pun. Haa, hal kecemasan adalah sesuatu yang tidak disangka, jika berlaku kerosakan kereta pada waktu hujan anda boleh gunakan baju hujan untuk memeriksan enjin kereta anda. Sekurang-kurangnya anda tidak basah lencun!

Tiga Segi Amaran Reflektif

Jika anda terpaksa berhenti di tengah jalan, tiga segi amaran reflektif ini sangat membantu. Ia memberi amaran kepada pemandu lain supaya berhati-hati dan perlahankan pemanduan. Keselamatan anda juga terkawal dengan pantulan cahaya tiga segi amaran ini kepada pengguna jalan raya yang lain.

Untuk kereta keluaran baru, memang ada disediakan tiga segi amaran reflektif ini, jika tiada anda boleh beli di pasaran.

Kabel Jumper

Jumper ini penting sekiranya berlaku beteri kereta anda lemah yang menyebabkan enjin tak boleh hidup. Dengan menggunakan kabel jumper ini, boleh selamatkan kenderaan anda daripada terbiar sahaja. Gunakan kabel jumper yang berukuran sekurang-kurangnya 10 kaki dan lengkap dengan salutan getah mampat supaya tidak bahayakan diri anda.

Car Jack Kit

Kegunaan car jack kit adalah untuk menukar tayar yang bocor kepada tayar simpanan atau spare. Jika tiada alat ini, tidak mungkin anda mampu menukar tayar.

SUMBER: MASKULIN