Polis peronda didakwa terima suapan RM700

Polis peronda didakwa terima suapan RM700

KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, kerana didakwa menerima suapan pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Mohamed Syaffiq Mohammed Sidek, 32 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Disember 2020, amtara jam 1 petang hingga 2 petang di Balai Polis Kuantan.

Dia didakwa menerima RM700 daripada seorang lelaki bagi melepaskan seorang suspek yang terbabit dalam kes memiliki air ketum.

Pendakwaan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang kini digantung kerja merayu agar mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang rendah memandangkan dia perlu menanggung isteri dan dua anak berusia tiga dan tujuh tahun serta menjaga ibunya yang uzur.

Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan RM10,000 bagi ikat jamin, namun Hakim membenarkan rayuan tertuduh dan memutuskan kadar ikat jamin RM7,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 25 Oktober ini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya membayar ikat jamin ditetapkan mahkamah itu.-SAHIH