JERANTUT BAKAL KELUARKAN DURIAN MUSANG KING ORGANIK TERBESAR

JERANTUT BAKAL KELUARKAN DURIAN MUSANG KING ORGANIK TERBESAR

JERANTUT : Jerantut bakal menjadi pusat pengeluaran durian Musang King organik terbesar untuk dieksport ke Eropah dan China selain turut meningkatkan produk sektor pertanian serta mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk setempat.

Projek perladangan tanaman itu bakal ditanam di atas tanah seluas 40 hektar bagi projek perintis Musang King D197 yang akan diusahakan oleh sebuah syarikat perladangan antarabangsa, United Tropical Fruit (UTP).

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, kerajaan akan menyediakan tanah seluas 40 hektar di kawasan yang akan dikenal pasti di mukim Tembeling Tengah atau beberapa kawasan tanah milik kerajaan yang akan dicadangkan.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

“UTP yang telah membuat kajian menyeluruh mengenai klon tanaman ini memilih daerah ini kerana mempunyai kawasan tanah yang sesuai selain tapak lojistik bagi pasaran dan kajian ini termasuk potensi tarikan pelancong berasaskan produk makanan daripada buah tropika berkenaan.

“Saya berharap syarikat UTP akan merealisasikan projek perladangan musang king organik di sini memandangkan ia berpotensi dari segi peluang pekerjaan serta penduduk yang berminat mengusahakan tanaman serta pasaran buah ini menerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan pelancaran projek perladangan UTP di Bandar Inderapura di sini malam semalam.

Katanya,  selain mukim Tembeling Tengah, beberapa kawasan lain tanah milik kerajaan di daerah ini akan dicadangkan dan memerlukan  kebenaran kerajaan negeri menerusi permohonan serta rundingan dengan Pejabat Daerah Jerantut.

Turut hadir, iaitu Pengarah Urusan United Tropical Fruit , Dr Raymond Samy dan Pengarah Urusan Durian Fresh Sdn. Bhd., Saiful Fazami.

Katanya, pembukaan ladang durian UTP itu bakal  memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk di samping membantu petani atau pengusaha tanaman ini secara berkelompok dengan menggunakan teknologi serta kepakaran syarikat ini untuk menghasilkan produk makanan berasaskan buah ini yang berkualiti.

Pengarah Urusan United Tropical Fruit , Dr Raymond Samy

“Sekiranya projek ini direalisasikan, Jerantut merupakan pengeluar musang king organik yang utama di Pahang yang belum lagi dirintis di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, Dr Raymond berkata, UTP merupakan syarikat perladangan antarabangsa beribupejabat di Singapura sehingga ini telah melaksanakan projek buah-buahan organik di negara Thailand, Indonesia dan benua Afrika.

“Sehingga ini cuma kadar 11 peratus sahaja pengeluaran makanan organik berasaskan daripada buah-buahan dan kita ingin memulakan projek musang king organik D197 di daerah ini memandangkan tanah yang sesuai serta pembangunan komuniti, iaitu peluang pekerjaan, latihan dan sebagainya.

“Projek ini juga mendapat kerjasama sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerusi bantuan kajian daripada pakar tanaman dan perladangan serta bakal menjadi pusat latihan luar penuntut universiti berkenaan,” katanya.-SAHIH.

https://www.sahih.com.my