SIDANG DUN PAHANG DIJADUALKAN BULAN OGOS MUNGKIN TANGGUH
SIDANG DUN PAHANG DIJADUALKAN BULAN OGOS MUNGKIN TANGGUH
KUANTAN: Sidang dewan undangan negeri (DUN) Pahang yang dijadualkan bermula pertengahan bulan Ogos ini, dijangka akan ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian.
Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad berkata, persidangan yang dijadualkan berlangsung selama lima hari itu, sebelum ini diumumkan pada hari terakhir sidang DUN tahun lalu.
“Perubahan tarikh akan dibuat bergantung pada perkembangan semasa wabak Covid-19 dan status Proklamasi Darurat ketika ini.
“Memandangkan kerajaan Persekutuan sudah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 Jun, jadi buat masa ini kita perlu menunggu keputusan muktamad selepas penilaian risiko dilakukan pihak berkaitan.
“Kalau diikutkan jadual asal, persidangan akan diadakan antara 16 hingga 20 Ogos depan, jadi banyak aspek perlu diambil kira memandangkan setiap kali persidangan diadakan, kita perlu merancang banyak perkara seperti upacara pembukaan persidangan DUN, tarikh persidangan dan pembentangan belanjawan, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ishak berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat bertarikh 25 Mei yang dihantar kepada semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) untuk mengemukakan usul yang akan dibentangkan semasa persidangan ke sekretariat sebelum hujung bulan ini.
Surat itu turut menyatakan bahawa tarikh persidangan ditetapkan antara 16 dan 20 Ogos, bergantung kepada Proklamasi Darurat yang sepatutnya berakhir pada 1 Ogos ini.
“Tindakan menghantar surat kepada ADUN adalah prosedur biasa bagi memastikan sekretariat bersedia jika persidangan dapat diteruskan pada tarikh yang sudah ditetapkan.
“Cuma, buat masa ini tarikhnya belum dimuktamadkan lagi, jadi kita kena tunggu pengesahan daripada pihak berkaitan terlebih dahulu,” katanya.-SAHIH