SANG RIANG BUKA PINTU UNTUK SEMUA KAUM
MAKANAN DISEDIAKAN MENGIKUT FAHAMAN AGAMA PENGHUNI
BERA: Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang yang beroperasi sejak tahun 2003, sangat mengalu-alukan lebih ramai penghuni baharu daripada pelbagai kaum.
Pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang juga memberi jaminan setiap penghuni yang tidak mempunyai tempat bergantung atau hidup sebatang kara, dapat menikmati kehidupan hari tua mereka dengan lebih bermakna apabila ditempatkan di sini.
KEMUDAHAN surau turut disediakan untuk penghuni beragama Islam
Pengasas Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Mey berkata, konsep pengurusan di rumah berkenaan adalah sangat terbuka dan sedia menerima bantuan serta kerjasama daripada mana-mana pihak berminat untuk bersama menjaga kebajikan warga emas yang hidup serba kekurangan.
“Kita memang terbuka kepada semua kaum.. ada orang Melayu, Cina dan India ditempatkan di sini dan mereka dijaga dengan baik oleh petugas rumah kebajikan ini.
“Tidak ada perbezaan layanan antara mereka.. kita cuba berikan perkhidmatan terbaik untuk semua penghuni.. kita jaga semua sekali, pakaian dan makanan yang bersesuaian untuk penghuni mengikut agama masing-masing.
“Kami ada tukang masak beragama Islam untuk menyediakan makanan kepada penghuni beragama Islam.. begitu juga penghuni yang beragama lain, kita berikan apa yang termampu untuk memastikan keselesaan mereka,” katanya.
TUKANG masak beragama Islam ditugaskan menyediakan menu halal
Yoke Mey berkata, pihaknya masih mengekalkan konsep penempatan penghuni secara percuma dan kebiasaannya terdapat pertubuhan kebajikan serta badan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan sumbangan bagi menampung kos operasi Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang itu.
Katanya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan orang perseorangan serta syarikat korporat turut banyak membantu dalam memastikan rumah kebajikan berkenaan dapat meneruskan operasi seperti biasa.
ANTARA menu disediakan untuk penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang
“Selain penginapan dan makanan, kita juga menyediakan rumah ibadat untuk kemudahan penghuni.. ada surau, kuil dan gereja dalam kawasan rumah kebajikan kami.. semuanya dibantu oleh ustaz atau imam dan mereka yang berkelayakan.
“Bagi mereka (penghuni) yang mempunyai masalah kesihatan, kita menyediakan juga perkhidmatan untuk rawatan kanser, selain turut mempertimbangkan permohonan kemasukan penghuni yang mempunyai masalah mental dan (kanak-kanak) orang kelainan upaya (OKU),” katanya.
AKTIVITI yang diadakan di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang boleh menghubungi 09-2505379.