SOP BANJIR DIPERKENALKAN
ELAK PENULARAN COVID-19
KUANTAN: Penjarakan fizikal antara keluarga antara yang akan diperkenalkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Mangsa di Pusat-Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri Pahang, bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 ketika musim tengkujuh nanti.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, kebersihan di PPS juga memainkan peranan penting ketika menempatkan penduduk terjejas banjir selain mengehadkan jumlah pengunjung di 600 PPS yang disediakan.
Bagaimanapun katanya, satu garis panduan berhubung SOP secara keseluruhan bermula daripada pergerakan anggota penyelamat, kepulangan penduduk ke rumah hingga pasca banjir akan dimuktamadkan pada hujung minggu ini kerana masih dalam kajian.
Beliau berkata, garis panduan tersebut berbeza berbanding tahun sebelum ini dan memberikan cabaran kepada kerajaan negeri dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
“Kami dan semua pihak sedaya upsaya untuk memutuskan penulawaran wabak ini di PPS dan untuk tahun ini, antara keluarga perlu diasingkan. Situasi ini akan berbeza berbanding tahun sebelum-sebelum ini apabila penduduk terjejas agak rapat antara keluarga.
“Dijangkakan kos penyediaan makanan akan bertambah sehingga 40 peratus kerana bergantung kepada masakan daripada luar berbanding sebelum ini memasak secara bergotong-royong. Namun, ia bergantung kepada keadaan semasa nanti, ” katanya selepas misi penghantaran bekalan makanan bencana ke 118 pangkalan hadapan Pahang yang dilancarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, sebanyak 98 tan bekalan makanan terdiri daripada 45 tan beras, 21 tan makanan dalam tin, 11 tan biskut, tujuh tan minyak masak, enam tan masing-masing gula dan kopi, serta satu tan masing-masing teh dan garam melibatkan RM1.079 juta.
“Bekalan makanan tersebut mampu menampung lebih 46 ribu penduduk terjejas untuk 7 hari di Hulu Tembeling, Pulau Tioman dan Kampung Bangkong, manakala di kawasan lain bekalan tersebut mampu menampung sehingga 3 hari.
“Setakat ini kerajaan negeri mempunyai kewangan mencukupi menerusi tabung malapetaka hasil daripada peruntukan kerajaan negeri dan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan, ” katanya.