SAMBUTAN HARI MERDEKA DALAM KEADAAN BERHATI-HATI
SAMBUTAN HARI MERDEKA DALAM KEADAAN BERHATI-HATI
BERA: Walaupun pandemik COVID-19 masih belum berakhir, namun itu bukan alasan untuk tidak meraikan sambutan hari bersejarah negara yang ke-64 tahun ini.
Bagi penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang, dekat Triang, di sini, sambutan tetap diteruskan dengan berhati-hati dan mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan.
Pengerusi Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Moey berkata, walaupun kebanyakan penghuni rumah kebajikan itu adalah warga emas, namun mereka tetap bersemangat untuk bersama menyambut Hari Merdeka dengan cara tersendiri.
“Pematuhan SOP menjadi keutamaan kami dalam setiap acara atau program dianjurkan sejak COVID-19 melanda dunia kira-kira dua tahun lalu.
“Kami mengadakan sambutan secara sederhana, dengan penghuni tidak melepaskan peluang mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku sebagai tanda semangat patriotik dalam kalangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Yoke Moey berkata, melalui acara sambutan itu juga dapat memberikan ketenangan kepada penghuni rumah kebajikan itu yang terpaksa menjalani kuarantin secara berterusan memandangkan mereka adalah golongan berisiko tinggi.
Katanya, walaupun hampir 100 peratus penghuni rumah kebajikan itu sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 mereka, namun langkah pencegahan masih perlu diambil bagi mengelak wabak berkenaan menular di kawasan berkenaan.-SAHIH