Pustaka Imaginasi dekatkan generasi muda dengan dunia seni
Pustaka Imaginasi dekatkan generasi muda dengan dunia seni
KUALA LUMPUR: Usaha mendekatkan masyarakat khususnya generasi muda dengan seni visual diperkasakan menerusi Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026 yang berlangsung di Balai Seni Negara, Sabtu lalu.
Program berkenaan mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan seni, pembacaan dan kreativiti termasuk pertandingan bercerita, deklamasi puisi serta persembahan seni budaya.
Ketua Kurator Kanan Seksyen Pembangunan Seni Balai Seni Negara, Adinaquraisa Ibrahim berkata, penganjuran program itu bertujuan memperkenalkan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan seni visual kepada masyarakat terutama golongan akademik, pelajar dan peminat seni.
Menurutnya, hari terbuka berkenaan juga menjadi platform untuk menguar-uarkan inisiatif Balai Seni Negara dalam menyediakan kemudahan rujukan berkaitan seni visual kepada orang ramai.
“Program ini adalah untuk kita menguar-uarkan kepada orang ramai mengenai inisiatif Balai Seni Negara yang menyediakan pusat rujukan seni visual kepada golongan akademik, pelajar serta peminat seni visual negara.
“Dengan adanya hari terbuka ini, ia dapat memberi pendedahan dan makluman kepada orang awam,” katanya.
Antara pengisian diketengahkan ialah Pertandingan Bercerita bagi murid Tahap Satu dan Tahap Dua serta Pertandingan Deklamasi Puisi yang menggunakan karya daripada koleksi seni negara sebagai bahan rujukan peserta.
Pengunjung turut disajikan dengan persembahan gamelan, tarian tradisional dan persembahan koir yang menambahkan kemeriahan program.
Sementara itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan SMK Bandar Baru Sentul, Faten Razak berkata, penyertaan sekolah berkenaan turut membuka ruang kepada murid berkeperluan khas mengetengahkan kreativiti mereka.
“Kraftangan yang kami hasilkan kebanyakannya daripada Program Pendidikan Khas Integrasi membabitkan murid berkeperluan khas.
“Program seperti ini sangat bagus kerana memberi peluang kepada kami mengetengahkan hasil kreativiti murid,” katanya.
Program itu secara tidak langsung memberi pendedahan lebih luas mengenai seni visual selain menjadikan Pustaka Imaginasi sebagai ruang pembelajaran dan rujukan yang lebih dekat dengan masyarakat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Balai Seni Negara, Pustaka Imaginasi 2026, seni visual, Adinaquraisa Ibrahim, Faten Razak, SMK Bandar Baru Sentul, pendidikan khas, kreativiti, budaya
