Katil pinjaman JIP ringankan beban penjaga pesakit uzur
Katil pinjaman JIP ringankan beban penjaga pesakit uzur
BATU GAJAH: Bermula dengan hanya sebuah katil hospital terpakai, Pertubuhan Jalinan Insan Prihatin (JIP) kini memiliki 314 katil untuk dipinjamkan kepada pesakit yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.
Inisiatif itu memberi kelegaan kepada ratusan keluarga termasuk Muhammad Suhaimi Rafa’at, 40, yang sudah lebih tiga tahun menjaga ibunya, Nadirah Shaharuddin, 79.
Ibunya mengalami patah tulang pinggul, pendarahan dalam kepala dan demensia selepas terjatuh kira-kira dua bulan lalu, menyebabkan hampir keseluruhan keperluan hariannya perlu diuruskan Suhaimi.
Vokalis kumpulan Sofea itu berkata, sebelum memperoleh katil hospital daripada JIP, proses menukar lampin dan memandikan ibunya agak sukar selain pergerakan wanita berkenaan terbatas.
“Dia selalu mengadu sakit kerana sebelum ini terpaksa berbaring di bawah. Alhamdulillah, apabila dapat katil ini saya rasa sangat lega dan dia lebih selesa,” katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Taman Maju, Seri Iskandar, di sini.
Menurutnya, pendapatannya bergantung kepada persembahan pentas dan beberapa komitmen termasuk rakaman serta persembahan terpaksa ditangguhkan bagi memberi tumpuan menjaga ibunya.
Sementara itu, pengasas JIP, Muhammad Don Abdul Rahman, 59, berkata usaha berkenaan bermula selepas beliau dan isterinya, Nora Mustafa, 55, membeli katil hospital terpakai berharga kira-kira RM500 untuk ibu mentuanya, Jeriah Pandak Wahab, 70.
Bagaimanapun, katil itu hanya sempat digunakan sehari sebelum Jeriah meninggal dunia pada September 2014.
“Daripada sebuah katil, kita beli lagi sehingga lima, kemudian 10, 15 dan akhirnya sekarang kita mempunyai 314 katil,” katanya.
Menurutnya, usaha itu berkembang sehingga JIP didaftarkan secara rasmi sekitar 2020.
Selain katil hospital, JIP turut menyediakan kerusi roda, mesin oksigen, tabung oksigen serta beberapa peralatan penjagaan lain mengikut keperluan dan stok tersedia.
Setakat ini, kira-kira 936 penerima mendapat manfaat daripada penggunaan katil hospital manakala ratusan lagi menggunakan peralatan lain.
Muhammad Don berkata, JIP mengamalkan sistem pinjaman supaya peralatan berkenaan boleh digunakan semula oleh pesakit lain, sekali gus membolehkan lebih ramai keluarga mendapat manfaat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Jalinan Insan Prihatin, JIP, Muhammad Suhaimi Rafa’at, Muhammad Don Abdul Rahman, katil hospital, penjaga pesakit, bantuan pesakit, Seri Iskandar, Batu Gajah, Perak
