PUNB akan luluskan pinjaman RM200,000 dalam tempoh dua minggu
PUNB akan luluskan pinjaman RM200,000 dalam tempoh dua minggu
Foto atas: Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Ahmad Nazlan Idris
JERANTUT : Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan pinjaman di bawah RM200,000 akan diberi kelulusan dalam tempoh yang singkat kira-kira dua minggu berbanding sebelum ini yang mengambil tempoh masa lebih panjang.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, PUNB telah diminta mengubah peraturan berkenaan untuk membantu usahawan untuk mempercepatkan perniagaan yang telah dirancang ataupun keselesaan bagi mereka (usahawan) bergerak aktif ketika ekonomi negara mula berkembang dalam tempoh fasa pemulihan pandemik Covid-19.
“Peraturan ini antara perubahan baharu dalam struktur kelulusan pinjaman kepada usahawan ini setelah hampir 30 tahun ditubuhkan PUNB sudah melaksanakan tanggungjawab membantu kerajaan melonjak ekonomi negara menerusi sektor perniagaan.
“Penambahbaikan kelulusan pinjaman bawah RM200,000 dalam tempoh yang singkat ini bukan sahaja kepada usahawan di Lembah Kelang dan Semenanjung, malahan peluang ini disebarluaskan untuk mereka yang berada di negeri Sabah dan Sarawak,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Nazlan bercakap kepada media selepas merasmikan Program Khatan Perdana B40 Parlimen Jerantut dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Jerantut di Poliklinik Kesihatan Bandar Jerantut harin ini. Yang hadir sama Pegawai Kesihatan Jerantut, Dr. Amir Faisal Mohd. Khairi.
Mengulas perkara yang sama, beliau menjelaskan bagi pinjaman yang melebihi RM200,000 hingga RM10 juta, PUNB perlu mengambil sedikit masa bagi mengkaji dengan teliti sebelum diluluskan, tetapi tidaklah memakan tempoh yang panjang kerana kewajaran pertimbangan yang lebih saksama kepada usahawan atau peminjam berkenaan.
Beliau berkata, pengurusan PUNB telah bersetuju mengagihkan peruntukan RM200 juta untuk pinjaman kepada usahawan tahun ini dibahagikan kepada kepada tiga segmen, iaitu RM1 juta ke bawah sebanyak 30 peratus, diikuti RM1 juta hingga 5 juta (40 peratus), manakala RM5 juta hingga ke RM10 juta ditetapkan 30 peratus daripada jumlah tersebut.
“Syarat serta peraturan yang agak relevan dengan peruntukan kerajaan dan PUNB, seeloknya semua usahawan yang memenuhi syarat di seluruh negara berpeluang membuat pinjaman untuk melebarkan perniagaan berasaskan landasan ekonomi negara yang mula berkembang dan kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut menambah PUNB telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk menaiktaraf sistem talian internet di Ibu Pejabat PUNB dan semua cawangan di seluruh negara bagi kemudahan pemohon (usahawan) membuat permohonan pinjaman.-SAHIH.