Kemelut jangan jejas rakyat, kerajaan N Sembilan mesti terus berfungsi
Kemelut jangan jejas rakyat, kerajaan N Sembilan mesti terus berfungsi
Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Sembilan mesti terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu antara intipati utama mesyuarat khas dipengerusikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan, Ahad lalu.
Menurutnya, hasil perbincangan panjang lebar itu dijangka membawa kepada satu pendekatan bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan seperti biasa.
“Itu yang mesti diperlukan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan insya-Allah daripada perbincangan yang panjang lebar, akan ada satu pendekatan untuk pihak kerajaan berjalan seperti biasa untuk kepentingan rakyat.
“Itu yang penting. Jadi itu yang pertama yang harus kita lakukan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat khas berkenaan di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim.
Sebelum itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat berkenaan bertujuan mengkoordinasi dan mengenal pasti penyelesaian terbaik terhadap kemelut berkenaan dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Peraturan-Peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta adat Negeri Sembilan tanpa berniat mencampuri urusan negeri.
Beliau turut memberi mandat penuh kepada Ismail untuk mencari penyelesaian termasuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta berbincang dengan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan pimpinan hierarki adat lain.
Ahmad Zahid turut berpandangan pengisytiharan darurat politik tidak diperlukan kerana keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan kekal terkawal.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, Ahmad Zahid, kemelut politik
