POLIS SIASAT MB SELANGOR LANGGAR KUARANTIN
Berita Nasional
POLIS SIASAT MB SELANGOR LANGGAR KUARANTIN
CHERAS: Polis akan membuka kertas siasatan berhubung isu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melanggar perintah kuarantin jika mempunyai keperluan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya masih meneliti kes berkenaan sebelum tindakan susulan diambil.
“Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang laporan berkaitan isu itu. Polis akan teliti perkara ini termasuk permohonan maaf dibuat Amirudin menerusi media sosial.
“Kalau ada keperluan, kita buka kertas siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah dan Pelancaran Portal serta Aplikasi Semak Mule, di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.
Ahad lalu, Amirudin dilaporkan memohon maaf kerana terpaksa keluar daripada kuarantin untuk membuat sidang media berhubung isu pencemaran di Selangor.
Mengulas perkembangan berkaitan, Acryl Sani, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk golongan kluster kayangan yang didapati ingkar arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.
“Kita berada dalam fasa kritikal berbanding Mac lalu berhubung peningkatan kes positif COVID-19.
“Selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam, tiada sesiapa terkecuali daripada siasatan dan tindakan termasuk ahli politik dan pemimpin kerajaan,” katanya.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, tidak ada pilih kasih dalam keperluan mematuhi arahan kuarantin kepada mana-mana individu.