Penceramah jemputan di Masjid ada tauliah – Sultan Pahang
Pastikan penceramah jemputan di Masjid ada tauliah – Sultan Pahang
MARAN- Masjid dan surau di Pahang perlu memastikan semua penceramah dijemput untuk program pengajian dan pengimarahan mempunyai tauliah mengajar agama daripada pihak berkuasa agama negeri.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
ketika bertitah menegaskan sebanyak 696 masjid dan surau di Pahang perlu kekal sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh negatif termasuk ajaran bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah ( ASWJ).
Titahnya, arahan itu bukan bertujuan menyusahkan mereka tetapi sebagai cara memastikan institusi masjid tidak dijadikan sebagai tempat menyebarkan ajaran menyeleweng atau politik kepartian pecah belah.
“Ia bagi memastikan institusi terbabit ditadbir secara efisien dan profesional khususnya membabitkan program pengimarahan dan pengajian agama,” titahnya di majlis perasmian Masjid Annur Kg Bukit Lada dan penyampaian kepada asnaf dan berbuka puasa bersama rakyat di perkarangan Masjid Kg.Bukit Lada, Maran hari ini.
Justeru itu titah baginda, sebarang pelanggaran terhadap ketetapan itu boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri ini.
Al- Sultan Abdullah bertitah, institusi masjid dan surau seharusnya menjadi medan yang memberikan pencerahan kepada ummah, menyebarkan semangat muhibah dan perpaduan bukannya menjadi punca kepada kekeliruan, perbalahan dan persengketaan yang memecahbelahkan masyarakat.
Tegas baginda, pegawai pentadbiran masjid perlu urus tadbir masjid dengan amanah dan bersistematik sekali gus mengelakkan salah guna kuasa yang menyusahkan kariah dan umat.
Baginda turut mengingatkan rakyat terus mengimarahkan masjid yang merupakan institusi asas dan terpenting bagi umat Islam yang menjadi lambang keagongan dan kesyumulan Islam.
” Institusi masjid harus dijadikan sebagai sebuah pusat pusat perkembangan Islam di mana semuanya bermula dan berkembang dari masjid.
” Oleh yang demikian, kerjasama erat antara setiap ahli kariah dalam mengimarahkan masjid dengan melaksana aktiviti keagamaan, kerohanian, sosial mahupun ekonomi mampu menarik lebih ramai umat Islam untuk memenuhi masjid.
Masjid bukan hanya menjadi tempat golongan di penghujung usia untuk menghabiskan sisa usia tua mereka,” titahnya.
Dalam perkembangan berkaitan baginda menggesa ibu bapa mendidik anak-anak supaya tidak membazir makanan pada bulan Ramadan ini
” Bersyukurlah dengan rezeki yang melimpah ruah yang dikurniakan ke atas rakyat berbanding sesetengah negara lain,” titahnya.-SAHIH
Ends