Sungai Pahang kering di Pesagi Chenor
Sungai Pahang kering di Pesagi Chenor
MARAN – Peralihan monsun sejak awal bulan ini yang membawa cuaca panas dan kering menyaksikan kawasan Sungai Pahang berdekatan Kampung Pesagi, Maran berubah menjadi beting pasir.
Keadaan itu menimbulkan masalah kepada penduduk di sepanjang jajaran sungai berkenaan yang kebanyakannya mencari rezeki sebagai nelayan sungai dan menternak ikan sangkar.
Mohd Yusuf Mat Amin, 63, berkata ketiadaan air di alur sungai itu memaksanya mudik ke hilir Sungai Pahang untuk menangkap ikan.
“Kejadian air kering di alur sungai ini sudah biasa berlaku, cuma setiap tahun ia makin teruk.
Mohd Yusuf Mat Amin…..
“Macam tahun lepas pun ada juga (berlaku), tapi dalam bulan Julai atau Ogos.
“Tahun ini awal lagi dah jadi begini, susah sikitlah untuk kami yang cari rezeki di sungai,” katanya.
Dia memaklumkan terdapat kira-kira 20 penduduk di situ yang menjadi nelayan sungai dan berdepan kesukaran untuk mendapatkan hasil tangkapan.
“Benda ini berlaku setiap tahun, sejak awal tahun 2000 kalau tak silap saya, tapi belum nampak lagi usaha nak atasi masalah ini.
“Kalau boleh saya harap kerajaan Pahang korek pasir di sini, di bahagian sungai yang dah jadi beting pasir supaya bolehlah air sungai mengalir ke kawasan sebelah sini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Setafar Chek, 65, pula memberitahu alur sungai yang kering itu merangkumi keluasan hampir tiga kilometer dan mendakwa ramai pengusaha ikan sangkar mengalami kerugian puluhan ribu ringgit setiap kali fenomena itu berlaku.
Katanya, jajaran sungai berkenaan merentasi Kampung Pesagi, Kampung Sanding dan Kampung Sawah yang menempatkan puluhan sangkar ikan patin dan tilipia diternak penduduk setempat.
“Minggu lepas ada pemilik sangkar menjual secara lelong ikan ternakan kerana tak sanggup menanggung kerugian.
Setafar Chek…
“Sangkar mereka dah terapung atas pasir, air semua dah kering jadi macam mana nak simpan lagi ikan.
“Daripada rugi baik dia jual murah-murah, kalau dibiarkan memang mati semua ikan sungai itu,” katanya.
Dia juga bersetuju jika kerajaan Pahang mengambil pasir di kawasan berkenaan untuk tujuan mendalamkan semula alur sungai itu.
“Seberang (sungai) sana ada orang korek (lombong) pasir, jadi sebelah sana air tak kering macam di sini.
“Aktiviti itu mencipta lubuk ikan dan membantu kami nelayan sungai meningkatkan hasil tangkapan.
“Kalau sebelah sini pun boleh korek juga pasir, rasanya adalah air di alur sungai kampung kami,” katanya.
Ditanya sama ada aktiviti melombong pasir di sungai bersebelahan menjadi punca alur sungai kering itu, Setafar menafikan fenomena berkenaan ada kaitan dengan aktiviti berkenaan.
Katanya, kejadian alur sungai kering itu berpunca daripada cuaca panas melampau dan ketiadaan hujan untuk tempoh lama.-SAHIH