PEMBUNUH GAJAH PERLU DIHUKUM-MENTERI SABAH
PEMBUNUH GAJAH PERLU DIHUKUM-MENTERI SABAH
RANAU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Jafry Ariffin berkata pihaknya memandang serius kes pembunuhan seekor anak gajah Pigmy Borneo di Tongod, Kinabatangan, Rabu lalu dan berharap pelakunya akan dihukum sekeras-kerasnya.
Free Malaysia Today melaporkan, katanya, siasatan terperinci akan dilakukan pihak berkaitan termasuk mengesan pembunuh gajah itu untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
“Kita memandang serius (pembunuhan gajah), aktiviti jenayah ini dilakukan ke atas haiwan terpelihara dan kita minta kepada pihak terbabit untuk menyiasat dan kalau boleh mengambil tindakan dan membawa mereka yang didapati terlibat ke muka pengadilan.
“Kita juga tidak mahu perbuatan tidak berperikemanusiaan ini berterusan kerana jika tidak, haiwan ini akan pupus dan saya harap tindakan serius dan sekeras-kerasnya dijalankan terhadap penjenayah terbabit,” katanya.
Jafry berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau keadaan tanah runtuh di kawasan letak kereta Taman Negara Kinabalu.
Terdahulu, dalam kejadian 8 pagi di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Imbak, Tongod, seekor anak gajah Pigmy Borneo ditemui sudah mereput dengan kesan tembakan dan tetakan.
Bangkai gajah disyaki berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu ditemui dengan beberapa anggota badannya terpisah antara satu sama lain.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Agustine Tuuga berkata, gajah itu dipercayai sudah mati sekurang-kurangnya empat atau lima hari sebelum ditemui.
Katanya, berdasarkan hasil bedah siasat pihaknya percaya ia terkena tujuh tembakan dengan empat daripadanya di kepala.
“Sebahagian besar kulit gajah berkenaan juga disiat dan beberapa anggota badannya seperti kaki dan telinga ditemui kira-kira 6 hingga 32m dari badannya.
“Beberapa anggota badan gajah, termasuk kepala dan gading ditemui, kecuali belalai,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jafry berkata pihaknya kini bekerjasama dengan semua pemain industri pelancongan di Sabah untuk berbincang bagi membangkitkan semula industri berkenaan selepas pandemik Covid-19 berakhir nanti.
“Kita sentiasa berkerjasama dengan pemain industri dan akan pastikan industri pelancongan ini akan bangkit semula. Bagaimanapun, buat masa ini kita tidak boleh bertindak atas kemahuan sendiri kerana masih tertakluk dengan arahan serta keputusan kerajaan.
“Apapun, saya yakin selepas PKP (perintah kawalan pergerakan) berakhir, industri pelancongan akan bangkit kembali menjadi antara penyumbang sektor ekonomi negara kita, khususnya Sabah,” katanya.