PASANGAN SUAMI ISTERI, ANAK DITEMUI MATI
BRENTFORD: Tiga sekeluarga ditemui mati dalam kediaman yang mereka sewa di Barat London, kira-kira jam 1 pagi tadi (waktu tempatan).
Mayat semua mangsa ditemui selepas pihak polis terpaksa memecah masuk kediaman itu berikutan laporan daripada ahli keluarga mangsa yang mendakwa sudah tidak berjumpa dengan mangsa sejak beberapa minggu lalu.
Ketua Detektif Inspektor, Simon Harding berkata, kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Kailash Kuha Raj, tiga tahun dan ibunya, Poorna Kaameshwari Sivaraj, 36, dipercayai meninggal dunia sejak beberapa ketika sebelum pihak polis menemui mayat mereka.
“Seorang lagi mangsa adalah suami Poorna, Kuha Raj Sithamparanathan, 42, disahkan meninggal dunia akibat kesan tikaman pada beberapa bahagian badan… pasukan paramedik cuba menyelamatkan Raj, namun gagal,” katanya.
Difahamkan, pasangan itu berasal dari Malaysia dan berkahwin di Kuala Lumpur pada tahun 2015.
Beberapa jiran keluarga malang itu mendakwa terdengar pertengkaran dan pergaduhan antara pasangan terbabit beberapa hari lalu.
Jiran mereka bagaimanapun mengakui pasangan terbabit sering dilihat keluar bersama dan hidup dalam keadaan bahagia, seperti pasangan-pasangan lain yang menetap di kawasan itu.
Harding memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan teliti bagi memastikan punca sebenar kejadian dapat diketahui.
“Pasukan siasatan memberi jaminan untuk melakukan siasatan dengan profesional… ada (ahli keluarga mangsa) mendakwa kali terakhir berhubung dengan pasangan ini pada 21 September lalu dan kita minta kerjasama jiran dan penduduk sekitar yang mempunyai sebaranv maklumat dapat tampil membantu kami,” katanya.
Sumber: The Sun & DailyMail